Empat ditahan kes tipu jual beli barang kemas dalam talian

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai empat individu termasuk dua wanita disyaki terlibat dengan sindiket penipuan jual beli barang kemas dalam talian diberkas secara berasingan di Lembah Klang, pada Khamis lalu.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, kesemua individu yang ditahan berusia 26 hingga 45 tahun itu dipercayai berperanan sebagai dalang utama dan pemilik keldai akaun.

"Kita turut merampas enam unit telefon bimbit, dua pengeluaran wang automatik (ATM), satu kad akses dan tujuh helai salinan perbualan WhatsApp yang disyaki digunakan untuk kegiatan penipuan jual beli barang kemas secara dalam talian," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Noorsiah berkata, siasatan yang dilakukan mendapati sindiket itu dipercayai aktif menjalankan aktiviti penipuan sejak pertengahan tahun lalu.

"Sindiket ini mewujudkan kumpulan (group) melalui aplikasi Telegram dan Instagram bagi mengiklankan barang kemas dan seterusnya mencari mangsa," katanya.

Beliau berkata, mangsa yang berminat dengan barang kemas diiklankan itu akan dihubungi oleh ahli sindiket dan diarahkan untuk membuat pembayaran ke akaun tertentu.

"Setelah pembayaran dilakukan, barang kemas yang dijanjikan tidak diterima oleh mangsa," katanya.

Beliau berkata, PDRM percaya melalui penahanan sindiket itu, sebanyak enam kes telah berjaya diselesaikan melibatkan jumlah kerugian RM17,100.

Katanya, kesemua individu terbabit ditahan reman dua hari sehingga Sabtu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Noorsiah berkata, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada bagi mencegah kes sedemikian daripada terus berleluasa dan mengambil langkah-langkah seperti melakukan transaksi pembelian dalam talian hanya melalui platform jualan sah bagi memastikan hak sebagai pembeli sentiasa dilindungi.

"Sentiasa berwaspada apabila membuat sebarang transaksi dalam talian dengan individu yang tidak dikenali di laman sosial yang menawarkan pelbagai tawaran barangan dengan harga yang lebih rendah daripada harga pasaran," ujarnya.

Beliau berkata, orang ramai juga dinasihat tidam membuat pembayaran ke dalam akaun bank atas nama individu yang berlainan daripada nama penjual.

Katanya, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat dan nasihat berkaitan jenayah komersial boleh menghubungi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial atau National Scam Response Center di talian 997.