Ismail Sabri tak setuju tindakan UMNO pecat, gantung pemimpin

Ismail Sabri - Foto Bernama
Ismail Sabri - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak bersetuju dengan keputusan parti itu memecat dan menggantung keahlian beberapa pemimpinnya.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau membantah keputusan berkenaan atas alasan pemecatan dan penggantungan dibuat tidak mematuhi proses perundangan dan bertentangan dengan prinsip keadilan asasi seperti hak membela diri.

Katanya, selain itu keputusan berkenaan menimbulkan beberapa perkara berbangkit termasuk tiada surat tunjuk sebab dan tiada ruang menjawab pertuduhan diberikan kepada pemimpin-pemimpin berkenaan.

"Dalam isu ini tiada surat tunjuk sebab bagi yang dituduh mengetahui pertuduhan terhadap mereka.

"Selain itu, tiada ruang menjawab pertuduhan melalui surat tunjuk sebab tersebut," katanya menerusi hantaran di Instagram beliau pada Sabtu.

Pada Jumaat, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pemecatan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan penggantungan enam tahun keahlian bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar yang kemudiannya dipecat atas kehendak beliau sendiri.

Tangkap layar hantaran Ismail Sabri di Intagramnya pada Sabtu
Tangkap layar hantaran Ismail Sabri di Intagramnya pada Sabtu

Turut digantung keahlian bagi tempoh sama adalah Ketua UMNO Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan; Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif dan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

Ahli Parlimen Bera itu menegaskan, sepatutnya jika yang menuduh tidak puas hati maka yang dituduh perlu dirujuk kepada pendengaran dalam jawatankuasa disiplin bagi mempertahankan diri.

"Beliau boleh membawa saksi. Tuduhan perlu dibuktikan.

"Jika jawatankuasa disiplin mendapati yang dituduh bersalah atau sebaliknya maka jawatankuasa disiplin perlu memberi cadangan kepada jawatankuasa pengurusan UMNO," ujar beliau.

Ismail Sabri menambah, selanjutnya, jawatankuasa pengurusan UMNO perlu berbincang dan membawa cadangan ke Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk membuat keputusan.

"Proses ini tidak dilaksanakan. Saya dimaklumkan jawatankuasa disiplin tidak pernah menasihatkan Presiden untuk sebarang tindakan namun hanya memaklumkan tentang terdapat laporan dibuat terhadap yang dituduh.

"Maka saya menyatakan tidak bersetuju dengan keputusan tersebut kerana terdapat kecacatan nyata dalam proses membuat keputusan memecat dan menggantung mereka," tegasnya.

Katanya, sebagai sebuah parti yang bertamadun, UMNO mesti dilihat telus dalam membuat sebarang tindakan.