'Digantung keahlian bukan pengakhiran tapi permulaan baharu'

Tangkap layar rakaman video ulasan Hishammuddin tentang penggantungan keahliannya dalam UMNO yang dimuat naik di Facebook beliau pada Sabtu.
Tangkap layar rakaman video ulasan Hishammuddin tentang penggantungan keahliannya dalam UMNO yang dimuat naik di Facebook beliau pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan penggantungan keahliannya selama enam tahun dalam UMNO bukan menjadi pengakhirannya dalam politk sebaliknya menjadi permulaan baharu untuknya terus berjuang.

Bekas Naib Presiden UMNO itu berkata, apa yang berlaku tidak sesekali mematahkan semangat beliau untuk cekal berjuang demi agama, bangsa dan tanah air.

"Ini bukanlah pengakhiran tetapi hanya permulaan. Permulaan baharu," katanya menerusi rakaman video berdurasi 50 saat yang dimuat naik di Facebook beliau pada Sabtu.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai keputusan yang diambil Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Jumaat yang menggantung keahliannya dalam parti selama enam tahun.

Turut digantung keahlian bagi tempoh sama adalah bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan; Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Salim Sharif.

Selain itu, MKT UMNO turut memecat bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Berkenaan langkah beliau seterusnya, Hishammuddin menjelaskan, perkara itu akan dibincangkan dengan kepimpinan UMNO Sembrong.

"Saya terpaksa berbincang dengan kepimpinan UMNO Sembrong untuk memikirkan apa hala tuju dan tindakan saya selanjutnya," ujarnya.