Shamala letak jawatan Timbalan Presiden MHC

Shamala
Shamala
A
A
A

TIMBALAN Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Profesor Datuk Dr S Shamala, melepaskan jawatannya itu berkuat kuasa pada Jumaat.

Memberikan alasan masalah kesihatan sebagai sebab utama beliau melepaskan jawatan yang dipegangnya sejak 2015 itu, Shamala juga melepaskan jawatannya sebagai Timbalan Presiden Persatuan Hoki Selangor.

Shamala berkata, dapat membantu hoki Malaysia sejak dua dekad lepas dengan memegang pelbagai jawatan termasuk naib presiden MHC dan setiausaha Persatuan Hoki Wanita Malaysia merupakan satu penghormatan tertinggi untuknya.

"Oleh kerana tempoh Jawatankuasa Eksekutif MHC ialah 2019 hingga ke 2023 dan kami dalam tahun akhir melengkapnya tempoh ini, jadi saya rasa ini adalah waktu yang tepat untuk saya membuat keputusan ini.

"Saya mahu mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan memohon maaf jika ada sebarang kekurangan kepada kesemua ahli hoki Malaysia, dengan satu pengalaman yang tidak akan saya lupakan selamanya,” katanya dalam surat peletakan jawatannya yang telah dimuat naik di Facebooknya. - Bernama