Malaysia kecam pembunuhan rakyat Palestin di Jenin

Gambar hiasan. - Foto Paul Zinken/ dpa
Gambar hiasan. - Foto Paul Zinken/ dpa
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia mengecam sekeras-kerasnya pembunuhan sekurang-kurangnya 10 rakyat Palestin oleh tentera Israel di Tebing Barat Kota Jenin dan kem pelarian pada Khamis (26 Januari).

Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) agar segera bertindak balas terhadap pencerobohan terbaharu Israel, menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra) pada Sabtu.

"Rejim Israel dan pelaku jenayah kejam ini mesti bertanggungjawab.

"Mangsa dan keluarga mereka berhak mendapat keadilan.

"Sikap Israel enggan berkompromi dan pencerobohan yang dilakukan terhadap rakyat Palestin terus menjadi penghalang dalam mencari penyelesaian komprehensif, adil, berkekalan dan aman bagi konflik Palestin-Israel,” menurut kenyataan itu.

Malaysia teguh dengan pendirian menyokong pembentukan sebuah negara Palestin yang berdaulat, berdasarkan garis sempadan 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.

Sebelum ini, media antarabangsa turut melaporkan bahawa sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh manakala 10 lagi cedera dalam insiden tembakan di sebuah penempatan di Baitulmaqdis Timur pada malam Jumaat.

Serangan dilaporkan berlaku di sebuah rumah ibadat, beberapa jam selepas pejuang Palestin dari Semenanjung Gaza melancarkan serangan roket terhadap penempatan Israel.

Menurut perkhidmatan kecemasan Israel, Magen David Adom berkata beberapa mangsa kini sedang menerima rawatan kerana kecederaan serius dan penyerang telah ditembak mati, lapor Xinhua. - Bernama