Bayi meninggal selepas tidak sedarkan diri di pusat asuhan

Seorang bayi lelaki meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri di sebuah pusat asuhan di Bandar Baru Bangi pada Jumaat. - Gambar hiasan
Seorang bayi lelaki meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri di sebuah pusat asuhan di Bandar Baru Bangi pada Jumaat. - Gambar hiasan
A
A
A

KAJANG - Seorang bayi lelaki berusia tiga bulan meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika berada di sebuah pusat asuhan di Bandar Baru Bangi di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, bayi berkenaan menerima rawatan kecemasan di sebuah hospital swasta sebelum disahkan meninggal dunia.

Menurutnya, laporan kematian itu kemudian diterima Balai Polis Bandar Baru Bangi pada jam 12.10 tengah hari.

"Siasatan awal mendapati bayi itu telah dihantar oleh ibunya kira-kira jam 7.15 pagi dalam keadaan sihat ke pusat asuhan terbabit sebelum disedari tidak sedarkan diri oleh pengasuh kira-kira jam 10.30 pagi.

"Pemeriksaan pada tubuh mangsa tidak menemui sebarang kecederaan dan siasatan di tempat kejadian tiada sebarang unsur kekerasan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, namun disyaki terdapat unsur kecuaian menyebabkan kematian pada bayi terbabit.

Katanya, semakan mendapati pusat asuhan tersebut telah beroperasi sejak tahun 2014 dan mempunyai lesen yang sah daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor.

"Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian," katanya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Jelasnya, polis menyeru mana-mana individu yang ada maklumat berhubung kejadian ini diminta untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di talian 03-89114222 atau mana-mana balai polis atau terus menghubungi Pegawai Penyiasat kes Inspektor Noor Hairul Anuar Shuhaimi di talian 012-3043034 bagi menyalurkan maklumat.