Khutbah Jumaat harus rangsang pemikiran - Sultan Selangor

Sultan Sharafuddin
Sultan Sharafuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah mahu khutbah Jumaat menjadi antara platform wajib bagi umat Islam merangsang dan menyegarkan kembali pemikiran mereka mengenai isu-isu berkaitan syiar Islam.

Menurut kenyataan dimuat naik menerusi Facebook rasmi Selangor Royal Office pada Jumaat, Sultan Selangor turut berkenan menzahirkan penghargaan kepada barisan Ahli Jawatankuasa Khutbah dan Panel Khutbah Negeri Selangor bagi tahun 2021 hingga tahun ini yang menghasilkan teks-teks khutbah Jumaat yang amat baik dan cemerlang.

Titah baginda, topik yang dipilih serta isi kandungan khutbah Jumaat yang disampaikan setiap minggu amat bertepatan dan sesuai dengan situasi semasa serta berkait dengan isu-isu yang sedang didepani oleh umat Islam dan masyarakat di negara ini.

Baginda berpandangan isi kandungan khutbah Jumaat yang difokuskan juga adalah padat, tepat dan mudah difahami oleh masyarakat dengan penggunaan bahasa yang ringkas serta jelas.

"Antara tajuk yang menyentuh tentang hal semasa pernah diketengahkan adalah 'Bahana Nikah Sindiket', 'Rasuah', 'Bahaya Pemikiran Islam Liberal', 'Kewajipan Mengundi Dalam Pilihan Raya', 'Banggakah Kita Jadi Tukang Viral Fitnah di Media Sosial', 'Fitnah Merosakkan Ummah' dan 'Vaksin Ikhtiar Terbaik'.

"Khutbah Jumaat minggu ini pula membawa tajuk 'Bijak Menyingkapi Pendapat'," menurut baginda.

Dalam hantaran sama, Sultan Selangor memaklumkan baginda akan disembah maklum dengan isi kandungan khutbah terlebih dahulu beberapa hari sebelum ia diperdengarkan kepada awam dan baginda sendiri teruja menantikan kupasan tajuk-tajuk yang dipilih.

Baginda berharap Ahli Jawatankuasa Khutbah Negeri Selangor, yang dipengerusikan oleh Datuk Salehuddin Saidin serta Panel Khutbah, yang dipengerusikan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, akan meneruskan momentum cemerlang dan tampil dengan tajuk, naratif dan isi kandungan khutbah Jumaat yang relevan dengan keadaan semasa. - Bernama