Tanda positif penurunan paras air di Johor

Tinjauan dari udara semasa pemantauan situasi banjir di beberapa daerah di negeri Johor, pada Jumaat. - Foto Bernama
Tinjauan dari udara semasa pemantauan situasi banjir di beberapa daerah di negeri Johor, pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

MUAR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan pemantauan udara mendapati tiga daerah di Johor iaitu Segamat, Kluang dan Muar yang terjejas teruk dilanda banjir kini menunjukkan corak paras air yang menurun, pada Jumaat.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Pasukan Gerakan Am) Bukit Aman, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, kesan-kesan fizikal tanda penurunan air itu dapat dilihat jelas dari udara.

"Di Kluang misalnya, kawasan sekitar di Kampung Contoh dan kawasan perkampungan Orang Asli menunjukkan tanda-tanda air surut namun di sesetengah kawasan seperti Bukit Kepong, Muar kita dapati keadaan air bagaimanapun masih tinggi dan tidak stabil," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai membuat pemantauan udara situasi banjir di Johor di Kem Batalion 6 Pasukan Gerakan Am, Bakri, di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Muhammad berkata, khidmat helikopter Pasukan Gerakan Udara PDRM dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah digunakan bagi menghantar bantuan bekalan makanan ke kawasan padalaman yang terputus laluan darat tengah hari tadi.

"Di Kluang, ketika ini hanya dua perkampungan yang terkesan banjir secara langsung. Di kawasan lain pula, walaupun tidak dinaiki air tetapi disebabkan terputusnya laluan darat jadi kita kita guna khidmat helikopter untuk hantar bekalan makanan kepada mangsa.

"Ia selepas kita terima permohonan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat yang berperanan untuk kenal pasti mangsa di pedalaman yang tidak dapat bantuan. Apabila terima permohonan, kita akan terus bantu hantar seperti semalam, dan petang ini pun, kita ada satu lagi penerbangan yang akan dilakukan," katanya.

Setakat 4 petang tadi, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah melaporkan mangsa banjir di Johor terus berkurangan kepada 3,498 mangsa daripada 969 keluarga di tujuh daerah yang ditempatkan di 38 buah pusat pemindahan sementara. - Bernama