Peniaga, pengusaha restoran disaran guna pekerja sambilan

Rafizi - Foto: Bernama
Rafizi - Foto: Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Golongan peniaga dan pengusaha restoran disaran menggunakan khidmat tenaga kerja sambilan dalam sektor perkhidmatan makanan dan minuman (F&B) sebagai usaha menangani cabaran kenaikan kos lain yang ditanggung.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, peningkatan kos sampingan seperti kos pekerja terpaksa ditanggung pengusaha restoran akibat pelaksanaan gaji minimum RM1,500.

Justeru, jelasnya, saranan tersebut adalah antara beberapa langkah yang sedang diperhalusi pelaksanaannya termasuk potensi menyebar luas model tenaga kerja sambilan (gig workforce).

“Ia adalah sebahagian daripada usaha untuk menyelaraskan pasaran kerja dengan tuntutan sektor ekonomi yang menjadi sebahagian daripada usaha menyeluruh menstrukturkan kembali ekonomi negara.

“Dalam masa terdekat ini, saya akan bertemu dengan wakil-wakil pengusaha restoran dan peniaga makanan untuk membincangkan secara dua hala langkah-langkah yang boleh diambil bersama kerajaan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Jumaat.

Dalam pada itu, Rafizi turut menyambut baik pandangan Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan mengenai peranan yang perlu dimainkan kerajaan, peniaga dan pengguna dalam menangani kenaikan harga makanan serta minuman.

Menurut beliau, sebagaimana perangkaan inflasi yang diumumkan Jabatan Statistik Malaysia (DOSM) baru-baru ini, walaupun inflasi bagi Disember 2022 mereda kepada 3.8 peratus berbanding 4 peratus pada bulan sebelumnya, kategori harga di restoran dan hotel adalah satu-satunya kategori harga yang masih belum mereda.

Ia mengalami kenaikan 7.4 peratus pada Disember 2022 berbanding 7 peratus bulan sebelumnya.

“Pandangan Jawahar selari dengan kerajaan supaya pengguna peka kepada kenaikan harga makanan dan minuman yang dibeli serta perlu bijak memilih premis yang menawarkan harga lebih baik berbanding pesaing-pesaing.

“Usaha mengekang inflasi memerlukan semua pihak menggembleng usaha bersama di samping meningkatkan akses pengguna kepada maklumat harga yang boleh membantu mereka membeli dari kedai harganya lebih seiring dengan harga purata setempat,” katanya.