Hanya 20 murid Orang Asli hadir di SRK Seri Sedohok

Hanya 20 daripada 87 murid di SRK Seri Sedohok hadir disebabkan jalan masuk ke Kampung Orang Asli Sedohok, Kluang dinaiki air kira-kira lebih satu meter sejak Rabu.
Hanya 20 daripada 87 murid di SRK Seri Sedohok hadir disebabkan jalan masuk ke Kampung Orang Asli Sedohok, Kluang dinaiki air kira-kira lebih satu meter sejak Rabu.
A
A
A

KLUANG - Jalan terputus akibat banjir menjejaskan kehadiran murid dari Kampung Orang Asli Kuala Sengka, Kampung Orang Asli Air Pasir dan Kampung Orang Asli Sedohok ke Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Seri Sedohok dekat sini sejak Rabu.

Yang DiPertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SRK Seri Sedohok, Asan Nawar berkata, daripada 87 murid di SRK Sri Sedohok, hanya 20 murid dapat hadir selepas jalan masuk ke Kampung Orang Asli Sedohok dinaiki air kira-kira lebih satu meter.

"Semua murid Tahun Satu hingga Tahun Enam yang hadir itu adalah daripada anak-anak penduduk Kampung Orang Asli Sedohok.

"Murid dari Kampung Orang Asli Kuala Sengka dan Kampung Orang Asli Air Pasir yang terletak tidak jauh dari sekolah itu tidak dapat hadir berikutan jalan keluar dari dua kampung itu ditenggelami air pada paras dada," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Beliau berkata, bagi meneruskan pembelajaran dua guru yang juga penduduk Kampung Orang Asli Sedohok menjalankan tugas mengajar dengan merangkumkan murid dalam satu kelas sahaja.

Menurut Asan, selebihnya iaitu 11 guru lain yang mengajar di SRK berkenaan tidak dapat masuk kerana jalan tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan kecuali bot.