Rakyat dapat manfaat pengecualian fi kepada BPS

Laporan Sinar Harian pada Jumaat. Zainul Rijal (gambar kanan).
Laporan Sinar Harian pada Jumaat. Zainul Rijal (gambar kanan).
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat akan mendapat manfaat secara langsung dengan pengecualian fi kepada anggota Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan (BPS) seperti yang diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai'm Mokhtar.

Presiden Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan (BPSWP), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, ini kerana tiada keperluan untuk para peguam memindahkan tanggungan tersebut kepada anak guam mereka.

Selain itu, Zainul Rijal turut mengucapkan penghargaan kepada Mohd Nai'm atas keprihatinannya berkaitan dengan bebanan yang ditanggung oleh peguam syarie khususnya di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

"Pengecualian fi yang diwartakan pada 26 Januari 2023 itu sangat melegakan peguam syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan yang baharu sahaja menempuh era baharu pasca pelaksanaan Akta 814 yang mula berkuat kuasa pada 21 Jun 2022 ditambah pula dengan krisis kesihatan yang masih belum pulih sepenuhnya akibat pandemik Covid-19.

"Keprihatinan YB Menteri dalam perkara ini perlu diteladani semua kerana meletakkan kepentingan awam mengatasi perolehan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohd Nai'm sebelum ini mengumumkan tiada pengenaan fi kepada anggota BPS di bawah Seksyen 23, 24, 29 dan 31 di bawah Akta Profesion Guaman Syarie 2019 (Akta 814) bagi tahun ini.

Tambah Zainul Rijal, pengalaman Mohd Nai'm dalam kehakiman syariah sebelum ini membantu keputusannya membuat pertimbangan yang cepat dan tepat dalam isu itu serta ia merupakan manifestasi kelancaran wibawa beliau sebagai menteri walaupun masih belum mencecah 100 hari pentadbiran.

"BPSWP berharap rundingan-rundingan bersama akan dilazimi berkaitan isu-isu peguam syarie, mahkamah syariah dan perundangan syariah. BPSWP bersedia pada bila-bila masa membantu YB Menteri dalam apa jua kapasiti bagi tujuan terbabit.

"Bagi fi untuk tahun-tahun akan datang, BPSWP telah pun melaksanakan kajian dan mendapat sumbang saran daripada anggota BPSWP. Hasil kajian dan sumbang saran tersebut akan dikemukakan kepada pihak berwenang pada masa akan datang," jelasnya.