Tiada fi dikenakan kepada peguam syarie tahun ini

Datuk Dr Mohd Nai'm Mokhtar
Datuk Dr Mohd Nai'm Mokhtar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada pengenaan fi kepada anggota Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan (BPS) di bawah Seksyen 23, 24, 29 dan 31 di bawah Akta Profesion Guaman Syarie 2019 (Akta 814) bagi tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai'm Mokhtar.

Mohd Na'im berkata, ini kerana kajian lanjut penetapan fi itu masih berjalan dan belum ada keputusan mengenainya dibuat.

"Bagi 2024 dan seterusnya, perkara ini akan ditentukan setelah kajian lanjut tersebut dibuat serta perbincangan dengan pihak-pihak yang berkepentingan diadakan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Akta 814 mula berkuat kuasa pada 21 Jun tahun lepas yang memperuntukkan fi dan caj boleh dikenakan ke atas anggota BPS.

Ia termasuk yuran tahunan dan levi di bawah Seksyen 47 Akta 814 yang kena dibayar kepada Badan Peguam Syarie dan beberapa fi lain di bawah Seksyen 23, 24, 29 dan 31 Akta 814 yang kena dibayar kepada Ketua Pendaftar.

Sementara itu, Mohd Nai'm berkata, beliau prihatin dengan kebajikan peguam syarie khususnya dalam era pascapandemik yang menyaksikan bahawa profesion guaman syarie berkenaan masih belum pulih sepenuhnya.

"Saya juga mendapat maklum balas dan pandangan daripada Majlis Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan (MPSWP), Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan dan Jabatan Peguam Negara berkenaan dengan isu fi dan caj ini.

"Sehubungan dengan itu, saya berpandangan bahawa perlunya kajian lanjut dilaksanakan oleh pihak-pihak dengan mengambil kira amalan yang dilaksanakan oleh mahkamah sivil dan Majlis Peguam berhubung pengurusan peguam bela dan peguam cara sebelum apa-apa ketetapan melibatkan pengenaan fi dibuat," katanya.

Menurutnya, perkara tersebut penting agar sebarang keputusan berhubung penetapan fi dapat dibuat dengan adil serta bebanan kepada mana-mana pihak dapat dielak. - Bernama