Selangor tidak akan bubar DUN dalam masa terdekat

Amirudin (kiri) bersama Wan Rosdy (kanan) selepas berakhirnya mesyuarat dua hala kerajaan Pahang dan Selangor di Wisma Sri Pahang pada Jumaat.
Amirudin (kiri) bersama Wan Rosdy (kanan) selepas berakhirnya mesyuarat dua hala kerajaan Pahang dan Selangor di Wisma Sri Pahang pada Jumaat.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Selangor tidak bercadang untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam tempoh terdekat.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, setakat ini perbincangan ke arah mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) masih berjalan, namun ia bukan keputusan untuk membubarkan kerajaan.

"Kita sedang bincang (pembubaran DUN), nanti Insya-ALLAH, kita akan putuskan.

"Setakat ini, saya boleh bayangkan tiada pembubaran DUN sebelum Aidilfitri dan saya boleh sahkan perkara itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar selepas berakhirnya mesyuarat dua hala Kerajaan Pahang dan Kerajaan Selangor di Wisma Sri Pahang pada Jumaat.

Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Ditanya mengenai cadangan Bendahari Barisan Nasional (BN) Selangor, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Besar Selangor, Amirudin menjelaskan soalan itu perlu diacukan kepada pemimpin tersebut.

"Kena tanya dia (Tengku Zafrul)," ujar beliau ringkas.