Bot nelayan tempatan ditahan gaji warga asing

Dua daripada nelayan asing itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
Dua daripada nelayan asing itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
A
A
A

GEORGETOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot tempatan yang dikesan menggaji kru warga asing tanpa kebenaran pada Khamis.

Pengarahnya, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, bot yang berpangkalan di Bagan Hutan Melintang, Perak itu ditahan pada jam 12.03 tengah hari pada kedudukan 21 batu nautika barat daya Pulau Kendi.

"Penahanan itu dibuat oleh Kapal Maritim Malaysia ketika melakukan pemeriksaan terhadap sebuah bot nelayan tempatan kelas C dalam rondaan Op Pertiwi dan Op Tanjung.

"Hasil pemeriksaan mendapati, seorang tekong dan lima nelayan warga Myanmar berusia lingkungan 24 hingga 33 tahun berada di atas bot berkenaan.

"Pemeriksaan lanjut mendapati, dua daripada nelayan tersebut tidak mempunyai sebarang surat pengenalan diri yang sah manakala pemilik bot didapati melakukan kesalahan menggajikan warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau, kesemua nelayan tersebut didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan warga asing tanpa kebenaran.

"Selain itu, mereka juga didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

"Bot serta kesemua nelayan ditahan bersama 50 kilogram hasil laut dan dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada pengusaha atau pemilik bot yang masih berdegil dengan menggajikan pekerja asing tanpa izin menggunakan bot mereka.

"Maritim Malaysia mendapati masih ada segelintir pengusaha atau pemilik bot yang berdegil menggunakan pendatang tanpa izin untuk bekerja di atas bot mereka walau pun tangkapan dan amaran dibuat sebelum ini.

"Kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan lebih tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia," katanya.

Beliau berkata, sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.