Beting Patinggi Ali: Malaysia tak iktiraf sebarang tuntutan

Kenyataan Mindef pada Jumaat berhubung kawasan Beting Patinggi Ali.
Kenyataan Mindef pada Jumaat berhubung kawasan Beting Patinggi Ali.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pertahanan (Mindef) menegaskan kawasan Beting Patinggi Ali, Sarawak adalah milik Malaysia dan tidak pernah mengiktiraf sebarang tuntutan daripada mana-mana pihak.

Menerusi satu kenyataan, Mindef berkata, kawasan itu juga berada dalam kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia.

"Mindef mengambil maklum mengenai laporan media pada 25 Januari 2023 mengenai tuntutan kawasan Beting Patinggi Ali, Sarawak.

"Dari sudut geografi, Beting Patinggi Ali terletak pada kedudukan 84 batu nautika (155 km) dari pantai Miri (spesifiknya di Tanjung Baram), Sarawak dan terletak dalam kawasan perairan ZEE Malaysia.

"Kedaulatan negara akan terus dipelihara dan sentiasa menjadi keutamaan Mindef dan Angkatan Tentera Malaysia," katanya pada Jumaat.

Media sebelum ini melaporkan terdapat penampakan kapal Pengawal Pantai China di kawasan Beting Patinggi Ali.

Beting Patinggi Ali merupakan gugusan batu karang terbesar di Laut China Selatan yang terletak di perairan utara Sarawak dan berada di dalam zon ZEE Malaysia.