Johor beri bantuan RM300 kepada keluarga terjejas banjir

Onn Hafiz menyampaikan sumbangan kepada para mangsa banjir ketika hadir di PPS Dewan Serbaguna Kampung Paya Merah pada Khamis. - Foto: Bernama
Onn Hafiz menyampaikan sumbangan kepada para mangsa banjir ketika hadir di PPS Dewan Serbaguna Kampung Paya Merah pada Khamis. - Foto: Bernama
A
A
A
SEGAMAT - Setiap keluarga yang terjejas banjir di Johor akan menerima bantuan RM300 daripada kerajaan negeri supaya sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban mereka.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan demikian ketika melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Kampung Paya Merah, Labis di sini petang Khamis.

”Pada masa yang sama, kalau perlu bantuan (untuk membersihkan rumah) sukarelawan Southern Volunteers akan bantu.



"Setiap keluarga mangsa, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan bagi RM1,000 dan Insya-Allah, kerajaan negeri akan tambah RM300 lagi untuk setiap keluarga,” katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Mengulas mengenai situasi banjir di Johor, beliau berkata, setakat jam 4 petang tadi, beberapa PPS telah ditutup dan jumlahnya kini berkurangan kepada 53, berbanding 58 PPS yang direkodkan semalam.

"Mangsa banjir juga berkurangan daripada lebih 5,400 kepada 5,111 (4 petang). Segamat masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 1,468 mangsa daripada 428 keluarga yang menghuni di 17 buah PPS, diikuti Mersing dan Kota Tinggi.

"Alhamdulillah cuaca hari ini agak baik. Sama-sama kita doakan agar keadaan kembali pulih," katanya.

Pada masa sama, Onn Hafiz turut menjunjung kasih ke atas limpah kurnia Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan seluruh keluarga baginda atas keprihatan menghulurkan bantuan kepada keluarga mangsa yang terkesan banjir. - Bernama