Terputus hubungan, empat kampung terima lebih 4,000kg makanan

Bantuan makanan dibawa menggunakan helikopter pada Khamis.
Bantuan makanan dibawa menggunakan helikopter pada Khamis.
A
A
A

KLUANG – Dianggarkan lebih 4,000 kilogram (kg) makanan seperti beras dan barang-barang keperluan harian disalurkan kepada masyarakat Orang Asli di empat kampung melibatkan Ladang Selai, Ladang Enggang, Kampung Orang Asli Pengkalan Tereh dan Kampung Orang Asli Sedohok, di sini pada petang Khamis.

Menurut Ketua Polis Daerah Kluang, Assisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, bantuan makanan berkenaan dibuat susulan keempat-empat kampung berkenaan dilaporkan terputus hubungan kerana laluan utama dinaiki air.

“Hari ini, Polis Daerah Kluang, bersama pihak Pejabat Daerah Kluang, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pasukan udara Polis Diraja Malaysia (PDRM), menghantar bantuan makanan ke empat tempat yang dimaklumkan telah terputus hubungan.

“Penghantaran bekalan makanan ini dilakukan dalam dua trip (perjalanan) dengan mengambil kira keadaan cuaca ketika ini.

“Bekalan makanan yang dihantar ini dijangka dapat menampung keperluan bagi tempoh empat hingga lima hari,” katanya pada Khamis.

Untuk rekod, penghantaran bekalan makanan berkenaan dibuat melalui khidmat helikopter daripada unit udara PDRM.

Sementara itu, Bahrin berharap agar orang ramai di sekitar Kluang dapat menyalurkan maklumat selain bantuan kepada Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di sini bagi memudahkan bantuan tersebut disampaikan.

“Orang ramai boleh hubungi PKTK atau PKOB untuk salurkan bantuan atau dapatkan sebarang maklumat... tak perlulah nak viral (tular).

"Selain itu saya juga nasihatkan sekali lagi, supaya semua pihak berhati-hati kerana dalam keadaan cuaca tidak menentu, banjir dan jalan licin ketika ini,” katanya.