'Sokongan anak muda terhadap PN tidak goyah'

Nurul Amin (kiri) bersama Timbalan Ketua 1 Pemuda PN Kedah, Mohd Saffuan Sabari selepas mesyuarat Pemuda Perikatan Nasional Kedah pada Rabu.
Nurul Amin (kiri) bersama Timbalan Ketua 1 Pemuda PN Kedah, Mohd Saffuan Sabari selepas mesyuarat Pemuda Perikatan Nasional Kedah pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Gelombang anak muda yang menyokong Perikatan Nasional (PN) tidak berganjak walaupun kerajaan Persekutuan kini ditunjangi Kerajaan Perpaduan, gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Ketua Pemuda PN Kedah, Nurul Amin Hamid berkata, ia bukan omongan kosong sebaliknya dibuktikan oleh keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Padang Serai yang menunjukkan sokongan tetap berpihak kepada PN yang merupakan negeri pembangkang.

Menurutnya, undi anak muda tidak berbelah bahagi untuk menyokong PN, malah berdasarkan majoriti kemenangan besar di Parlimen dimenangi PN di Kedah adalah daripada sokongan pengundi pertama dan pengundi muda.

“Kita dapati kebanyakan saluran mengundi anak muda termasuk di kubu kuat PH dan BN dimenangi oleh PN.

“Anak muda sudah mulai sedar, UMNO/BN yang dahulu merupakan saingan utama kini ketinggalan di Kedah apabila tidak memenangi satu kerusi pun di Kedah,” katanya.

Nurul Amin yang juga Ketua Pemuda Pas Kedah berkata, UMNO/BN dijangka mengambil masa lebih lama untuk membina kembali kekuatan akar umbi apabila terhalang oleh liabiliti pemimpin nombor satu parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang masih menerajui sebagai Presiden.

“Saya percaya anak muda Kedah sudah celik maklumat berhubung prestasi kerajaan BN mahupun kerajaan PH termasuk kerajaan PN yang pernah mentadbir Kedah.

“Pencapaian cemerlang Kedah bawah PN tidak boleh ditandingi dan sudah menjadi pengetahuan umum kalangan pengundi muda,” katanya.

Menurutnya lagi, program-program bersama anak muda terus mendapat sambutan, terutama konvoi motosikal selain trend sokongan di media sosial terhadap pemimpin PN Kedah, khususnya Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor terus meningkat.

“Kecelaruan pentadbiran PH mahupun BN dalam menguruskan situasi ekonomi negara turut menjadi bualan anak muda, antaranya isu bekalan telur, harga makanan mahal di kedai sehingga trending isu ‘Duduk Rafizi’ menjadi troll anak muda.

"Malah gambar Menteri Besar Kedah duduk atas kerusi pun mendapat lebih 31,600 tanda suka dan dikongsi 613 setakat semalam (Rabu),” ujarnya.

Nurul Amin memaklumkan, Pemuda PN Kedah kini di landasan selari dengan gelombang anak muda yang masih hangat.

“Kita akan lancarkan program Santai Anak Muda Sejahtera Kedah (SAMUDRA) di setiap kawasan Parlimen di negeri ini, dengan pelbagai aktiviti antaranya konvoi motosikal dan aktiviti anak muda lain. Program ini akan bermula Mac depan,” katanya lagi.