Peniaga mengaku tak bersalah kemuka tuntutan palsu

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA - Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini pada Khamis, atas tiga pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi Program Penjana Kerjaya 2.0 membabitkan jumlah RM1,123,030.

Mohd Eszahar Mansor, 38, didakwa dengan niat memperdaya Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Perkeso Melaka, Nurshahera Nordin dengan mengunci masuk 19 pekerja syarikat Eszahar Maju Enterprise ke dalam Sistem Penjana Kerjaya 1.0 yang sebenarnya mereka bukanlah pekerja syarikat terbabit di Unit Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Perkeso Melaka pada 10 Oktober 2020.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, Mohd Eszahar dituduh mengunci masuk masing-masing 49 dan 35 pekerja ke dalam Sistem Penjana Kerjaya 1.0 dan 2.0 dan mereka bukanlah pekerja syarikat Eszahar Maju Enterprise, masing-masing pada 6 Oktober 2020 dan 21 April 2021 di tempat yang sama.

Dia dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah jika dapat dinilai atau berbentuk wang dan RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan selain memohon syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri ke pejabat SPRM Negeri Sembilan sekali sebulan sehingga kes selesai.

Peguam tertuduh, Azrul Zulkifli Stork pula memohon agar tertuduh diberi jaminan rendah memandangkan pendapatannya hanyalah RM5,000 sebulan selain isteri masih menyambung pelajaran, menanggung dua anak masih bersekolah serta menjaga ibu bapa.

Hakim Elesabet Paya Wan membenarkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM Negeri Sembilan sekali sebulan sehingga kes selesai. - Bernama