Kertas siasatan dua isteri jurulatih bergaduh hampir selesai

Mohd Iqbal Ibrahim
Mohd Iqbal Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Polis dalam proses melengkapkan kertas siasatan berhubung kes melibatkan dua isteri jurulatih bola sepak bergaduh di sebuah restoran di sini Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya sedang merakam keterangan beberapa orang saksi kejadian sebelum merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

"Kita sedang lengkapkan siasatan dan akan maklumkan balik bila dah lengkap. Sekarang kita sedang dapatkan keterangan saksi, rujuk kepada hospital dan sebagainya.

"Saksi kita panggil yang mana ada di tempat kejadian. Kedua-dua pihak datang bersama anak dan ahli keluarga jadi ada beberapa saksi yang kita panggil," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Khamis.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan, seorang penyanyi tempatan berusia 20-an mengesahkan khabar angin yang mengatakan dirinya telah mendirikan rumah tangga bersama jurulatih bola sepak terbabit.

Susulan itu, kedua-dua isteri jurulatih berkenaan dilaporkan bergaduh selepas kedua-dua pihak bertikam lidah dalam kejadian di sebuah restoran di sini pada awal pagi Isnin.

Pergaduhan terbabit dileraikan oleh orang awam sebelum kedua-dua pihak tampil membuat laporan polis.