Nasib KJ, formula Rafizi dan banjir

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - Ketika Kerajaan Perpaduan diasak dengan isu tekanan kos sara hidup yang masih belum menunjukkan perkembangan positif, tumpuan sedikit teralih terhadap isu nasib figura besar UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam parti itu.

Ia susulan laporan bahawa Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dijangka membuat keputusan mengenai tindakan disiplin terhadap bekas Ketua Pemuda UMNO itu pada Jumaat.

Pada Rabu, satu mesyuarat peringkat Jawatankuasa Pengurusan Lembaga Disiplin UMNO dikatakan berlangsung bagi membincangkan perkara berkenaan sebelum dibawa ke mesyuarat MKT.

Namun media yang menanti perkembangan berkaitan Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) mendapati tidak ada sebarang kelibat pemimpin UMNO yang hadir.

Khairy lantang mengkritik soal keputusan UMNO untuk tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti termasuk mendakwa wujud 'perwakilan import' ketika proses pengundian usul tambahan tiada pertandingan dua jawatan utama itu pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 baru-baru ini.

Apa yang pasti, tentu ramai yang tertanya-tanya apakah bentuk 'hukuman' yang mungkin dikenakan terhadap bekas Ahli Parlimen Rembau itu dan sebarang keputusan yang tidak menyebelahi Khairy dijangka akan menimbulkan reaksi kurang senang banyak pihak yang sama-sama senada dengan perjuangan Khairy yang mahu memastikan amalan demokrasi dalam UMNO tidak terkubur.

Sementara itu, bagi perkembangan isu kos sara hidup, kerajaan menerusi kerjasama beberapa kementerian sedang merangka strategi baharu sebagai langkah mengatasi bebanan rakyat di mana pelan strategi jangka pendek dan panjang itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ia melibatkan rantaian makanan dan menambah sumber bekalan di dalam negara.

Kementerian dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Sara Hidup, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Kementerian Kewangan serta agensi berkaitan juga sedang meneliti langkah ke arah jaminan bekalan makanan bagi memenuhi permintaan seterusnya membantu mengawal kenaikan harga.

Beralih ke perkembangan banjir, Pahang menjadi negeri terbaharu dilanda bencana itu selepas Johor dan Sabah.

Ia menjadikan tiga negeri kini terjejas dengan bencana itu ekoran hujan lebat yang berterusan. Di Pahang, sebanyak tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Rompin bagi menempatkan 97 mangsa daripada 28 keluarga.

Manakala di Johor terus mencatatkan peningkatan mangsa banjir dengan jumlah terkini seramai 5,000 orang daripada 1,390 keluarga ditempatkan di 51 PPS setakat jam 10 malam Rabu.

Pada masa sama di Sabah, sebanyak tujuh jalan di tiga daerah terputus hubungan dan tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan akibat banjir, malam Rabu.

Tiga jalan adalah di Kudat iaitu Jalan Pinawantai, Jalan Kampung Pengaraban dan Jalan Indrasan.Selain itu tiga lagi adalah di Pitas membabitkan Jalan Liu Malibang, Jalan Kabatasan dan Jalan Kanibongan manakala Jalan Teringai di Kota Marudu.