Isu sedekah: UMNO didakwa cuba kelirukan fakta

Ahmad Yahaya
Ahmad Yahaya
A
A
A

ALOR SETAR - UMNO didakwa cuba mengelirukan fakta sebenar berkaitan skandal rasuah yang menjadi barah dalam parti itu apabila dilihat memutarbelitkan isu sedekah oleh pimpinan Pas.

Ketua Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP), Datuk Ahmad Yahaya berkata, skandal rasuah yang dikaitkan dengan pimpinan UMNO merupakan simbol penolakan rakyat terhadap parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Menurutnya, ini adalah fakta sebenar yang cuba dinafikan segelintir pemimpin Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Harapan (PH) untuk mengelirukan masyarakat berhubung isu politik wang.

“Pandangan sinis Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Presiden UMNO) terhadap kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang jelas mempunyai niat untuk mengelirukan orang ramai.

“Ini kerana terdapat garis yang jelas antara amalan rasuah dan politik wang dengan pemberian sedekah khususnya ketika kempen pilihan raya,” katanya di sini pada Rabu.

Pada Ahad, Ahmad Zahid menempelak kenyataan Abdul Hadi bahawa pemberian wang tunai sewaktu kempen pilihan raya hanyalah ibarat sedekah kepada pengundi.

Ahmad Zahid dilaporkan berkata, sebagai ulama, mereka perlu mempunyai integriti dan tidak boleh menukar fatwa sesuka hati.

Ahmad sebaliknya mendakwa secara ironinya UMNO sedang berusaha untuk ‘mewajahkan’ setiap tindakan Pas dan Perikatan Nasional (PN) dalam konteks rasuah dan politik wang.

“Tohmahan sedemikian sebenarnya menjauhkan BN dan PH daripada realiti sebenar.

“Saya ingin nasihatkan pemimpin BN dan PH supaya tidak menjadi seekor ketam yang mengajar anaknya berjalan. Selesaikan dahulu kes-kes rasuah yang sedang berjalan melibatkan pemimpin parti masing-masing, barulah bercakap soal banteras rasuah kepada rakyat,” katanya lagi.

Menurutnya, Abdul Hadi tidak pernah berdolak-dalik berhubung pandangannya dan telah memperjelaskan secara nyata.

“Ia tiada kaitan dengan usaha menghalalkan amalan rasuah sebagaimana yang cuba ditohmah oleh Ahmad Zahid.

“Malangnya, Ahmad Zahid sengaja memutarbelitkan kenyataan tersebut supaya mereka dapat satukan rasuah dan sedekah dalam satu bahagian yang sama,” ujarnya.

Ahmad percaya Ahmad Zahid sebenarnya lebih arif untuk membezakan elemen rasuah dan politik wang yang merosakkan masyarakat dengan pemberian sedekah.

“Namun beliau kelihatan masih keliru dan cuba mengelirukan orang lain.

“Saya ingin tegaskan, sokongan luar biasa yang diterima Pas dan PN adalah lambang keyakinan rakyat terhadap kami selain mesej bersih dan stabil yang ditampilkan begitu berkesan. Rakyat tidak perlu terima sogokan untuk memilih antara kaca dan permata,” tegasnya.

Menurutnya, keputusan PRU15 jelas membuktikan penolakan rakyat terhadap BN selain PH yang dilihat gagal mentadbir selama 22 bulan dalam pasca PRU14.