Tebing runtuh nyaris timbus kedai

Anggota dari Balai Polis Kuala Rompin melakukan pemantauan di lokasi tebing runtuh di Felda Selendang di sini pada Rabu. - Foto FB IPD Rompin
Anggota dari Balai Polis Kuala Rompin melakukan pemantauan di lokasi tebing runtuh di Felda Selendang di sini pada Rabu. - Foto FB IPD Rompin
A
A
A

ROMPIN - Sebuah kedai nyaris tertimbus dalam kejadian tebing runtuh di Felda Selendang di sini pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu tidak melibatkan kerosakan serius pada struktur bangunan dan tiada kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohd Azahari Mukhtar berkata, tanah yang mengelongsor turun hanya terkena kawasan bahagian belakang kedai.

Menurutnya, bahagian dalam premis terlibat hanya dimasuki air.

"Sepasukan anggota dari Balai Polis Kuala Rompin telah ke lokasi bagi tujuan pemantauan.

"Pemilik kedai dinasihatkan supaya meninggalkan premis buat sementara waktu atas faktor keselamatan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku," katanya ketika dihubungi.

Cuaca hujan yang berlaku di daerah itu turut menyebabkan banjir kilat berlaku di kawasan Kampung Baru Perwira Jaya.

Seramai tujuh mangsa daripada dua keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara PPS di balai raya Bandar Perwira Jaya.