PRN serentak: Perbincangan tidak rasmi minggu depan

Ahmad Samsuri (lima dari kiri) menyampaikan surat tawaran kepada penerima biasiswa di Wisma Darul Iman pada Rabu.
Ahmad Samsuri (lima dari kiri) menyampaikan surat tawaran kepada penerima biasiswa di Wisma Darul Iman pada Rabu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Satu perbincangan secara tidak rasmi dengan tiga pemimpin negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan dijangka diadakan pada minggu depan bagi membincangkan mengenai pilihan raya negeri (PRN).



Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, antara isu yang dibangkitkan nanti adalah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) secara bersama supaya PRN dapat diadakan serentak di enam negeri.

“Belum tahu lagi (PRN serentak atau tidak) sehingga kita berkomunikasi dan berbincang dengan negeri-negeri lain. Kita sudah bincang secara tidak formal pada akhir tahun lepas, insya-ALLAH kita akan bincang lagi dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir menyempurnakan Majlis Apresiasi Penerima Biasiswa YT-TI Young Talent Scholarship Programme Tahun 2022 kepada 10 pelajar cemerlang terpilih di Wisma Darul Iman, di sini pada Rabu.

Menurut Ahmad Samsuri, beliau berharap proses pilihan raya di enam negeri tersebut dapat diadakan serentak bagi memudahkan pengurusan pelbagai pihak sama ada pengundi mahupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau yang juga Naib Presiden Pas berkata, tiga negeri yang dipimpin Perikatan Nasional (PN) iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah sudah sepakat dan bersetuju untuk mengadakan PRN serentak mengikut tarikh bersesuaian.

“Namun begitu, tiada mana-mana pihak boleh memaksa negeri lain untuk mengadakan PRN sekali. Jadi apa pun kami akan berbincang dulu,” katanya.

Pas sebelum ini dilaporkan tidak akan membuat keputusan bersama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam menentukan pembubaran DUN di tiga negeri yang diterajuinya iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, jika negeri diterajui PH iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan mahu membubarkan DUN Jun ini, itu terpulang kepada mereka.

Sebanyak enam negeri yang tidak membubarkan DUN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu akan mengadakan PRN iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Bulan lalu, SPR menyatakan enam negeri tersebut perlu mempertimbangkan mengadakan PRN secara serentak bagi membantu SPR menyelaraskan penempatan tenaga kerja di kesemua negeri tersebut dengan lebih baik, dengan menganggarkan kos keseluruhan RM450 juta.