Polis tidak terima permohonan himpunan di Kedutaan Sweden

Noor Dellhan
Noor Dellhan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis tidak menerima sebarang permohonan daripada mana-mana pihak untuk mengadakan perhimpunan di Kedutaan Sweden, di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, sebarang perhimpunan yang ingin diadakan perlu menghantar notis mengikut peruntukan undang-undang di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Sekurang-kurangnya notis berkenaan perlu dihantar lima hari sebelum tarikh untuk perhimpunan berkenaan diadakan dan setakat ini (Rabu), tiada sebarang notis pemakluman diterima.

"Memandangkan beberapa hari lagi perhimpunan itu akan diadakan (Jumaat), jadi saya nasihat agar orang ramai menghormati dan mematuhi undang-undang,” katanya kepada pemberita semasa Hari Bersama Media Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini pada Rabu.

Sebelum ini, satu poster penganjuran penyerahan memorandum di kedutaaan Sweden Jumaat ini dikesan susulan kejadian membakar al-Quran di Stockholm, Sweden baru-baru ini.

Penganjuran itu dipercayai dibuat oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyeru orang ramai bersama-sama berhimpun dan berarak ke kedutaan Sweden dari Masjid As-Syakirin KLCC selepas solat Jumaat.

Ahad lalu, pemimpin parti politik sayap kanan Denmark Hard Line. Rasmus Paludan, membakar al-Quran dengan pemetik api semasa protes Islamofobia di hadapan kedutaan (Turkiye) di Stockholm.