JDT bakal manfaatkan aksi pra-musim

Sebahagian pemain JDT menjalani latihan di Dubai bagi mengharungi aksi pra-musim berkenaan. - Foto fb Johor Southern Tigers.
Sebahagian pemain JDT menjalani latihan di Dubai bagi mengharungi aksi pra-musim berkenaan. - Foto fb Johor Southern Tigers.
A
A
A

AKSI pra-musim 2023 di Dubai, bakal dimanfaatkan juara quadruple Liga Malaysia (Liga-M) musim lalu, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam usaha memperbaiki prestasi pasukan bagi mengharungi saingan musim baharu tidak lama lagi.

Menurut pengendali JDT, Esteban Solari, aksi pra-musim berkenaan juga merupakan satu (proses) pembelajaran buat skuad Harimau Selatan itu untuk terus ‘berkembang’ apabila berdepan dengan pasukan-pasukan terbaik, kelak.

“Semua sedar JDT adalah kelab yang mempunyai standard yang tinggi dan setiap masa kami mahu memperbaiki prestasi dan ini adalah isu utama apabila kami membuat keputusan untuk datang ke sini (Dubai), bagi bertemu pasukan yang baik, mempunyai pemain yang baik dan mempunyai posisi yang baik dalam (saingan) liga seperti liga kelab Rusia.

“Saya juga mahu pemain mempunyai growmindset yang bermaksud mereka perlu belajar daripada setiap perlawanan mereka selain perlu bekerja keras bagi mencapai ‘daya tahan’ kerana ia adalah penting untuk pemain bola sepak,” katanya pada Rabu.

Untuk rekod, aksi pra-musim di JDT menyaksikan skuad Harimau Selatan itu berdepan kelab Russia, FC Rostov di Stadium The Sevens, Dubai pada 25 Januari, diikuti kelab dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada 28 Januari, FC Levski Sofia dari Bulgaria (31 Januari) serta dua kelab Russia, Lokomotiv Moscow dan Zenit St. Petersburg, masing-masing pada 2 dan 6 Februari.

Sementara itu Solari berkata, segala persiapan ketika ini dilihat sangat baik dan pihaknya juga telah mengadakan pertemuan dengan kesemua pemain bagi membuat penilaian secara individu.

Katanya, penilaian berkenaan dibuat dari segi fizikal pemain kerana ia seterusnya bakal menentukan posisi yang bersesuaian bagi mereka.

“Persiapan dan keadaan (pemain) dilihat sangat baik dan kami juga telah bertemu dengan setiap pemain secara individu untuk membuat penilaian dari segi fizikal mereka dan seterusnya posisi mana yang sesuai untuk mereka.

“Sejak awal saya sudah nyatakan secara terang kepada pemain, saya mahu mereka berikan persembahan terbaik untuk kami dan apa yang penting, mereka faham tentang sistem permainan untuk memberikan potensi terbaik mereka.

“Selain itu, kami juga bekerja ke arah ketersediaan pemain bagaimana hendak melakukan 'build up' dan bagaimana mahu mencipta rentak (permainan) selain bagaimana untuk bertahan. Inilah yang kami lakukan ketika ini dan saya rasakan pasukan menunjukkan respons yang baik setiap hari,” katanya.