Sema kurang manis semakin popular

Ayu Zielianie menunjukkan sema yang dibuat di premisnya
di Kampung Kutan Tengah, Tumpat.
Ayu Zielianie menunjukkan sema yang dibuat di premisnya di Kampung Kutan Tengah, Tumpat.
A
A
A

TUMPAT - Gula tarik atau lebih dikenali sebagai sema di Kelantan kini semakin popular di seluruh negara kerana rasanya tidak lagi manis seperti dahulu.

Sema yang diperbuat daripada gula dan menggunakan pelbagai warna itu pernah digelar makanan punca ‘potong kaki’ dan kencing manis.

Pembuat sema di Kampung Kutan Tengah, Tumpat, Ayu Zielianie Elisha Mohd Sayuti, 36, mengakui makanan itu sudah ramai penggemarnya kerana kurang manis sesuai dengan masyarakat yang memilih cara hidup sihat.

Menurut ibu kepada tiga anak itu, selepas lebih lima tahun beroperasi, mereka menerima tempahan daripada peniaga di Melaka, Johor, Pahang dan Pulau Pinang selain permintaan tinggi dari ejen di Bangkok, Thailand.

“Sema turut dihantar ke beberapa lokasi tumpuan pelancong termasuk pasar dan tempat bersejarah di negeri ini,” katanya.

Ayu Zielianie mengakui membuat sema memerlukan ketekunan bagi memastikan struktur cantik dan ringan selain mengekalkan kelembutannya.

No Image Caption

Menerusi bantuan lima ahli keluarga lain, ia mampu menyiapkan tempahan pelanggan dan boleh dianggarkan setiap hari mereka dapat memproses kira-kira 300 bekas.

Katanya, setiap bekas dijual pada harga RM4 yang mengandungi 12 biji dan pelanggan boleh membelinya secara borong dan runcit.

Berkongsi pengalamannya, usahawan ini bagaimanapun memberitahu, sema tidak sesuai disimpan dalam peti sejuk kerana mudah mengeras dan lebih enak dimakan dalam suhu bilik.

Ayu Zielianie mewarisi perniagaan ibunya, Rosnani Salleh, 56, yang lebih 15 tahun berkecimpung dalam pembuatan sema.

Sema banyak dijadikan sebagai pemanis dalam majlis tertentu.

“Ramai yang memilih sema sebagai cenderamata terutama majlis perkahwinan, pertunangan dan khatam al-Quran,” katanya.

Bercerita mengenai cara pembuatan sema, Ayu Zielianie memberitahu, sebanyak 72 kilogram gula sehari diperlukan untuk membuat makanan itu.

“Cara memasak sema ialah dengan memasak gula hingga keperangan sebelum memasukkan sedikit air dan dibiarkan keras.

“Gula keras itu kemudian ditarik kira-kira setengah jam seperti kaedah pembuatan gula-gula,” katanya.

Gula tarik yang siap digaul tepung bagi menghasilkan sema.
Gula tarik yang siap digaul tepung bagi menghasilkan sema.

Sebagai usahawan sema, Ayu Zielianie mengakui untung yang diperoleh tidak banyak kerana barangan yang digunakan sudah naik harga selain persaingan dengan pencuci mulut lain.

“Bagaimanapun saya akan meneruskan perniagaan keluarga ini kerana percaya sema akan terus menjadi pilihan masyarakat sebagai makanan tradisi di negeri ini,” katanya.