Banduan lolos penjara diburu

Polis sedang memburu seorang banduan yang melarikan diri dari Pusat Koreksional Jasin, pada Selasa. - Gambar hiasan
Polis sedang memburu seorang banduan yang melarikan diri dari Pusat Koreksional Jasin, pada Selasa. - Gambar hiasan
A
A
A

JASIN - Polis sedang memburu seorang banduan yang melarikan diri dari Pusat Koreksional Jasin, di sini pada Selasa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintendan Mohd Fadzli Othman berkata, polis menerima laporan kejadian itu pada jam 7.03 petang dan banduan tersebut disedari hilang jam 2.20 petang.

Menurutnya, berdasarkan maklumat diterima daripada seorang kakitangan penjara yang sedang berada di Pejabat Pegawai Yang Bertugas (PYB), dia dimaklumkan suspek telah menghilangkan diri.

"Banduan terbabit ialah Mohammad Roshaidi Mohd Ghazali, berusia 44 tahun merupakan tahanan kes samun dan sedang menjalani Program Reintegrasi Penghuni di pusat tahanan tersebut.

"Pakaian terakhir banduan itu berwarna hijau dan berselipar," katanya ketika dihubungi.

Sebelum itu, tular di media sosial mengenai banduan itu yang telah melarikan diri.

Tambah beliau, operasi mengesan banduan tersebut telah dilancarkan sejurus menerima laporan.

"Masyarakat yang mempunyai maklumat diharap dapat menyalurkan maklumat kepada mana-mana balai polis yang berhampiran," katanya lagi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 223 dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan.