Mat rempit dicekup buat aksi bahaya

Antara aksi berbahaya yang dikesan dilakukan oleh salah seorang penunggang motosikal di Lebuhraya Seremban-Port Dickson, Negeri Sembilan pada Isnin.
Antara aksi berbahaya yang dikesan dilakukan oleh salah seorang penunggang motosikal di Lebuhraya Seremban-Port Dickson, Negeri Sembilan pada Isnin.
A
A
A

PORT DICKSON - Tindakan mat rempit melakukan aksi samseng jalanan ketika dalam perjalanan untuk mandi-manda di pantai sekitar daerah ini mengundang padah selepas ditahan pada Isnin.

Operasi sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman itu dijalankan bermula jam 9 pagi.

Menurut sumber, operasi terbabit berjaya menahan 11 penunggang selepas aksi berbahaya mereka dikesan semasa pemantauan di Lebuhraya Seremban - Port Dickson.

"Kesemua penunggang termasuk seorang warga Indonesia terbabit ditahan secara berasingan.

"Mereka ini dikesan melakukan aksi meniarap sambil meluruskan dua kaki ke belakang (superman), menundukkan badan dan zig-zag," katanya pada Selasa.

Tambah sumber, dua penunggang telah dibawa ke Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban dan selebihnya dibawa ke BSPT IPD Port Dickson.

Katanya lagi, siasatan awal dipercayai penunggang terbabit adalah daripada geng berlainan.

"Ada antara mereka itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur untuk ke Port Dickson untuk mandi pantai," ujarnya.

Tegasnya, kesemua motosikal jenis Yamaha 125ZR, Yamaha 135LC dan Yamaha Y15ZR disita untuk tindakan lanjut.

"Kesemua penunggang berusia 17 hingga 24 tahun itu disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987," jelasnya.