Pas kutuk tindakan bakar al-Quran di Stockholm

Kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pas berhubung insiden membakar al-Quran oleh politikus ekstrem sayap kanan Denmark-Sweden, Rasmus Paludan di depan kedutaan Turkiye di Stockholm, Sabtu lepas. Takiyuddin(kiri).
Kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pas berhubung insiden membakar al-Quran oleh politikus ekstrem sayap kanan Denmark-Sweden, Rasmus Paludan di depan kedutaan Turkiye di Stockholm, Sabtu lepas. Takiyuddin(kiri).
A
A
A

SHAH ALAM - Pas mengutuk tindakan membakar al-Quran oleh politikus ekstrem sayap kanan Denmark-Sweden, Rasmus Paludan di depan kedutaan Turkiye di Stockholm, Sabtu lepas.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu melihat agenda Islamofobia itu sebagai tindakan melampau dan terdesak kumpulan terpencil untuk mendapatkan perhatian semata-mata.

Justeru, beliau menggesa agar kerajaan Sweden mengambil tindakan tegas terhadap pelaku berkenaan sebagai langkah kawalan dan pencegahan kerana dibimbangi akan menjemput reaksi dan tindak balas yang memburukkan lagi keadaan.

Katanya, tindakan politikus itu sewajarnya dikutuk dan dikecam bukan sahaja oleh negara Islam malah seluruh masyarakat dunia yang bertamadun serta inginkan keamanan dan keharmonian.

“Berdasarkan rekod pencapaian parti pimpinannya, Stram Kurs dalam Pilihan Raya Sweden serta berbelas-belas pendakwaan jenayah yang dihadapinya secara peribadi, jelas menunjukkan pelaku tersebut hanyalah seorang pengacau yang tidak berupaya menyumbangkan apa-apa yang bermakna kepada masyarakat manusia dan Sweden khususnya.

“Naratif anti-migrasi dan anti-Islam yang dibawanya hanyalah alat mudah untuk memacu kerjaya politiknya yang tidak pernah pun berkembang sehingga kini.

“Beliau hanya mengambil kesempatan atas dasar terbuka dan kebebasan bersuara untuk menyebarkan ekstremisme dan rasisme,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Jelas Takiyuddin, penggunaan hujah kebebasan bersuara untuk menghina agama dan kepercayaan orang lain adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab mahupun terpuji.

Artikel Berkaitan:

Islam katanya, amat tegas dalam hal ini termasuk menyekat umatnya bertindak menghina agama dan kepercayaan orang lain.

“Pas percaya masyarakat Sweden tidak akan menerima dasar dan sikap seperti itu. Malah, Pas yakin rakyat Sweden akan mendapati bahawa falsafah ‘lagom’ dalam budaya mereka sangat selari dengan konsep ‘syukur’ dan ‘umat wasatan’ yang dibawa oleh Islam itu sendiri.

“Ia berguna untuk terus membina sebuah negara yang sederhana serta harmoni dengan sumbangan umat Islam yang berhijrah ke sana.

“Dalam hal ini, politik serta naratif kebencian dan melampau yang dibawa oleh Paludan adalah termasuk dalam kategori daki dan sisa. Ia akan terhapus dengan sendirinya,” ujar beliau.