Anggota polis mengaku tidak bersalah terima rasuah

Tertuduh (kiri) di bawa keluar dari mahkamah selepas mendengar proses pendakwaan terhadapnya.
Tertuduh (kiri) di bawa keluar dari mahkamah selepas mendengar proses pendakwaan terhadapnya.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang anggota polis berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Selasa atas pertuduhan menerima rasuah bernilai RM1,500, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Muhamad Fitry Ismail, 32, membuat pengakuan berkenaan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di depan Hakim, Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang ketika itu bertugas sebagai Penolong Pegawai Penyiasat di Cawangan Narkotik, IPD Kubang Pasu didakwa menerima wang rasuah dari seorang lelaki yang kini berusia 26 tahun.

Suapan tersebut didakwa diterimanya sebagai upah kononnya telah membantu menyelesaikan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 terhadap lelaki berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam 11.34 malam, 18 November 2020 di luar pintu utama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fauzee Azizan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Khairul Hafizuddin Ramli.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama iaitu penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan melapor diri di Pejabat SPRM Langkawi sebulan sekali.

Tarikh serahan dokumen dan sebutan semula kes ditetapkan pada 6 Mac 2023.