Budak keluar kepala di 'sunroof', polis cari pemandu X70

Rakaman video tular memaparkan pemandu Proton X70 membenarkan seorang kanak-kanak mengeluarkan kepalanya melalui 'sunroof'.
Rakaman video tular memaparkan pemandu Proton X70 membenarkan seorang kanak-kanak mengeluarkan kepalanya melalui 'sunroof'.
A
A
A

PETALING JAYA - Polis sedang mengesan pemandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 yang membenarkan seorang kanak-kanak mengeluarkan kepalanya melalui bumbung tembus cahaya (sunroof) di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE).

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya mengesan rakaman video berdurasi sembilan saat yang dimuat naik oleh pemilik akaun Twitter, @nabilahroslan pada jam 12.15 tengah malam.

"Dalam rakaman video itu memaparkan sebuah SUV Proton X70 berwarna merah bersikap cuai terhadap keselamatan kanak-kanak dengan membenarkannya mengeluarkan kepala melalui sunroof kenderaan berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohamad Fakhrudin berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai sehingga membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.

"Jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga bulan atau denda tidak melebihi RM500 atau kedua-duanya sekali," katanya.

Mohamad Fakhrudin berkata, pemilik atau pemandu kenderaan berkenaan dan saksi yang melihat kejadian diminta tampil membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi penolong pegawai penyiasat trafik, Sarjan Mejar Mohd Yusof Hamzah di talian 011-23065984 bagi membantu siasatan," katanya.