Yadim tolak cubaan wujudkan kebencian terhadap Islam

Yadim membantah tindakan Paludan yang membakar al-Quran di Sweden pada Sabtu.
Yadim membantah tindakan Paludan yang membakar al-Quran di Sweden pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menolak dan tidak membenarkan sebarang percubaan untuk mengundang kebencian dan keganasan atas alasan kebebasan dan hak asasi manusia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kamarul Arief Tuan Soh berkata, Yadim menyokong penuh kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengutuk tindakan membakar al-Quran oleh ahli politik Sweden, Rasmus Paludan kelmarin.

Menurutnya, tindakan Paludan dan mereka yang berkongsi pandangan dengannya secara berterusan menyebar tindakan bersifat keganasan sejak April 2022.

"Justeru tidak hairan ia mengundang rasa marah dan kecewa rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, khususnya warga yang beragama Islam. Rakyat negara ini juga percaya, sikap biadab Paludan ini tidak melambangkan budaya dan kepercayaan majoriti rakyat Sweden yang lain.

"Tindakan ini ini seharusnya dihentikan segera untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah Kamarul lagi, Yadim percaya, selain mengadakan bantahan menerusi saluran diplomatik, ajaran agama ini yang sentiasa menyeru ke arah kebaikan mesti disebarkan bukan sahaja di dunia Islam semata mata.

"Mesej ke arah belas kasihan, rahmah dan kasih sayang serta budi bahasa yang terdapat dan selalu ditegaskan dalam al-Quran mesti ditegakkan.

"Yadim mengambil kesempatan ini untuk menyeru umat Islam negara ini bersatu menyokong bantahan ini," ujarnya.