Fikir cara turunkan harga, bukan hukum peniaga - Ismail Sabri

Ismail Sabri ketika ditemui petugas media selepas sambutan Rumah Terbuka MCA pada Ahad.
Ismail Sabri ketika ditemui petugas media selepas sambutan Rumah Terbuka MCA pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu mencari jalan untuk mengurangkan harga bahan mentah bagi memastikan rakyat mampu membeli makanan dengan harga murah, bukannya melepaskan tangan mahupun menghukum peniaga restoran, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bekas Perdana Menteri itu dipercayai merujuk kepada kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada Sabtu, bahawa pengguna perlu lebih proaktif dalam tindak balas mereka terhadap perubahan harga barangan dengan mengelak restoran dan kedai makanan lain yang menawarkan makanan dan minuman pada harga yang tidak munasabah.

Ujar Naib Presiden UMNO itu, kenyataan seperti itu tidak membantu rakyat sebaliknya makin menyusahkan peniaga-peniaga di restoran dan gerai makan.

"Kalau harga bahan mentah meningkat, sayur mahal, ikan mahal, pastinya peniaga-peniaga menaikkan harga.

"Sepatutnya kalau harga bahan mentah mahal, pihak kerajaan mesti pastikan harga bahan mentah dapat diturunkan untuk membantu peniaga menjual dengan murah dan rakyat akan dapat harga makanan yang murah.

"Kerajaan sepatutnya memikirkan soal ini, bukannya dengan kenyataan-kenyataan yang dengan begitu mudah melepaskan tangan dan hukum peniaga-peniaga restoran," katanya kepada petugas media selepas sambutan Rumah Terbuka MCA pada Ahad.

Sebelum ini pada 23 Disember lalu, Rafizi menyarankan supaya pengguna menjauhi peniaga yang dirasakan mengenakan harga yang terlalu tinggi berbanding harga purata peniaga-peniaga lain.

Ujar beliau, kesedaran tersebut dipercayai akan menekan peniaga terbabit untuk menurunkan harga.

Dalam pada itu, ketika mengulas mengenai isu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Ismail Sabri berkata, ramai yang bising mengenai isu pengeluaran tersebut ketika zaman pemerintahannya.

“Dulu semasa saya (berkhidmat), ramai yang bising semasa kami membuat kajian sama ada KWSP perlu dikeluarkan atau tidak dan akhirnya kita keluarkan.

"Ramai yang bising dulu. Saya harap rakyat bersuara kali ini minta untuk dikeluarkan KWSP. Mana-mana yang bersuara kuat semasa saya jadi Perdana Menteri dulu, silakan bersuara lagi," katanya.