Tarian singa atas tiang tembusi pasaran antarabangsa

Tarian singa atas tiang Malaysia berkembang dengan baik sehingga berjaya menembusi peringkat antarabangsa.(Gambar hiasan) - Foto 123rf
Tarian singa atas tiang Malaysia berkembang dengan baik sehingga berjaya menembusi peringkat antarabangsa.(Gambar hiasan) - Foto 123rf
A
A
A

SHAH ALAM - Tarian singa atas tiang Malaysia berkembang dengan baik sehingga berjaya menembusi peringkat antarabangsa.

Menteri Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing berkata, gabungan persembahan artistik yang unik bersesuaian dengan budaya tempatan dan turut melakukan aksi akrobatik serta lompatan dari tiang ke tiang menjadikan tarian tersebut terkenal di peringkat antarabangsa.

"Persembahan tarian naga dan singa mempunyai sejarah lebih 100 tahun di Malaysia. Walaupun ia berasal dari China namun Malaysia telah menggabungkan persembahan artistik itu ke bentuk yang lebih unik.

"Kumpulan tarian naga dan singa negara kita menjadi bualan negara luar dan ia telah berkembang dengan baik.

"Pada Julai 2007, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negara telah mengisytiharkan Tarian Singa Atas Tiang sebagai Warisan Negara bagi menggalakkan dan mempromosikan aktiviti kebudayaan dalam negeri serta mengiktiraf status budaya tarian singa di negara kita," katanya di Facebook pada Sabtu.

Dalam pada itu, King Sing berkata, selain menjadi 'jenama' budaya tempatan Malaysia yang terkenal, tarian singa atas tiang juga menunjukkan integrasi budaya Malaysia-Cina yang amat baik dalam budaya kebangsaan.

"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat kaum lain berminat untuk menyertai dan mempelajari kemahiran tarian singa.

"Tarian singa atas tiang telah menjadi kemahiran yang boleh dipelajari oleh kumpulan persembahan tarian singa di dalam mahupun di luar negara," ujarnya.

Menurut beliau, kumpulan tersebut sering beraksi dalam pelbagai pertandingan tarian singa bertaraf dunia sehingga ada yang berjaya merangkul kemenangan buat negara.

"Saya amat berharap agar persembahan seni dan budaya daripada pelbagai etnik dapat mengekalkan unsur-unsur tradisi mereka sama seperti tarian singa yang melangkaui tradisi dengan kreatif dan berkembang maju," jelasnya.

Sementara itu, King Sing memaklumkan Tahun Baharu Cina melambangkan permulaan, titik awal dalam nasib dan kehidupan serta pengakhiran yang berjaya dan sudah tentu ia juga memberi makna membawa masa depan lebih baik serta cerah.

"Sempena Tahun Baharu ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk menasihati kepada semua agar terus menggandakan usaha bagi mencapai kejayaan yang kita inginkan.

"Marilah kita melakukan tindakan berterusan dalam mencapai pembaharuan bagi mengalakkan pembangunan berkualiti. Sesungguhnya, pembaharuan itu memerlukan motivasi, daya hidup dan kualiti tinggi bagi mencapai sesuatu matlamat yang telah ditetapkan," ujarnya.

Beliau turut mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Cina 2023 yang juga merupakan tahun arnab.

"Semoga 'lompatan' anda lebih tinggi sehingga berjaya mencapai kejayaan dan kemajuan yang lebih besar. Paling penting bawa lebih banyak kebahagiaan, kekayaan dan kesihatan baik berpanjangan," ujarnya.