Bekalan ayam, telur kembali normal dalam masa terdekat

Bekalan telur kembali normal untuk pasaran tempatan bermula bulan ini. - Foto Bernama
Bekalan telur kembali normal untuk pasaran tempatan bermula bulan ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Bekalan ayam dan telur akan kembali normal dan mencukupi untuk pasaran tempatan bermula bulan ini, menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS).

MAFS dalam satu kenyataan pada Sabtu memaklumkan perkara itu antara jaminan dan komitmen yang diberikan Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) ketika pertemuan antara kementerian dengan persatuan itu yang berlangsung pada 19 Januari lepas di Putrajaya.

Pertemuan itu dihadiri Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu; Ketua Setiausaha MAFS, Datuk Lokman Hakim Ali; pegawai kanan kementerian dan FLFAM yang diketuai Presidennya, Tan Chee Hee.

"Pertemuan ini bertujuan bagi membincangkan Memorandum FLFAM berkaitan isu yang menjejaskan kemampanan dan daya saing industri unggas khususnya ayam daging dan telur. Antara isu yang dibangkitkan meliputi harga kawalan dalam tempoh panjang menyebabkan penternak berdepan kerugian kerana kos pengeluaran terus meningkat.

"Isu lain adalah seperti keperluan meningkatkan produktiviti melalui penternakan secara sistem tertutup, isu aliran tunai dalam kalangan penternak, jangkaan bekalan ayam dan telur serta kos pengeluaran,” menurut MAFS.

Jelas MAFS lagi, FLFAM turut menzahirkan penghargaan mereka kepada kerajaan atas usaha dan sokongan dalam mencari penyelesaian yang seimbang tentang masalah yang dihadapi oleh pengguna dan industri di Malaysia berikutan pelbagai cabaran yang wujud dalam proses rantaian bekalan makanan di seluruh dunia.

"MAFS akan terus komited mengadakan libat urus bersama pemain industri bagi memastikan industri ayam dan telur terus mampan bagi menjamin bekalan makanan sentiasa mencukupi untuk keperluan rakyat,” menurut kenyataan itu. - Bernama