Rumah terbuka eratkan muhibah rakyat Sarawak - Abdul Taib

Abdul Taib
Abdul Taib
A
A
A

KUCHING - Konsep rumah terbuka yang sering kali diadakan semasa sambutan perayaan dapat mengeratkan semangat muhibah serta jalinan kerjasama antara semua rakyat Sarawak.

Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud berkata, Sarawak yang mempunyai masyarakat berbilang kaum dan bangsa menyambut pelbagai perayaan setiap tahun seperti sambutan Aidilfitri, Gawai Dayak, Krismas dan Deepavali.

Katanya, perbezaan budaya dan kepercayaan itu tidak menimbulkan sikap mengasingkan, sebaliknya rakyat Sarawak bersama-sama meraikan perayaan rakan-rakan mereka daripada kaum lain.

Beliau berkata, budaya seperti itu yang telah melahirkan kehidupan harmoni dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.

“Perbezaan tidak seharusnya menjadi batu penghalang untuk kita bersatu dan hormat-menghormati antara satu sama lain,” katanya dalam perutusan sempena Tahun Baru Cina yang akan disambut Ahad.

Sementara itu, Abdul Taib berkata, rakyat Sarawak perlu bersyukur kerana pada tahun ini mereka berpeluang menyambut perayaan dalam skala yang agak besar berbanding semasa wabak Covid-19 melanda negara.

“Kita telah meninggalkan 2022 dengan pelbagai kenangan. Kita perlu cekal dan bersedia kerana saya yakin kerajaan Sarawak akan melonjakkan ekonomi negeri ini demi pembangunan yang berterusan,” katanya. - Bernama