MA63: Keterbukaan kerajaan mudahkan rundingan Sabah, Sarawak

Dari kiri: Hajiji Abang Johari, Anwar, Fadillah Yusof dan Datuk Armizan Mohd Ali selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 pada Jumaat . - Foto bernama
Dari kiri: Hajiji Abang Johari, Anwar, Fadillah Yusof dan Datuk Armizan Mohd Ali selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 pada Jumaat . - Foto bernama
A
A
A

KUCHING - Keterbukaan kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mencari penyelesaian berkenaan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah memudahkan rundingan buat Sabah dan Sarawak.

Pendapat itu dizahirkan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 di sini pada Jumaat.

Abang Johari yang mengucapkan terima kasih atas beberapa keputusan penting yang dicapai dalam mesyuarat itu berkata, isu berkaitan MA63 adalah mengenai pelaksanaan yang telah dipersetujui dan bukan satu permintaan baharu.

"Perkara-perkara yang dibangkitkan kita sebenarnya telah termaktub dalam MA63 cuma sekarang ini kita nak laksanakan sahaja. Jika sekiranya ada masalah teknikal saya yakin ini boleh diselesaikan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu.

Anwar yang mempengerusikan mesyuarat itu, antara lain mengumumkan Kementerian Kewangan memberikan kelulusan awal berjumlah RM1 bilion untuk memulakan kerja-kerja menaik taraf prasarana dan keupayaan kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di sempadan Sarawak dan Sabah.

Kerajaan Persekutuan juga bersetuju menaikkan pemberian khas mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan pada Sarawak kepada RM300 juta.

Selain itu, Anwar turut mengumumkan pelantikan Setiausaha Kewangan Sarawak, Datuk Seri Dr Wan Lizozman Wan Omar sebagai Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkuat kuasa pada Jumaat.

Sementara itu, Hajiji berkata, pelbagai perkara berkaitan MA63 untuk Sabah telah berjaya diselesaikan Perdana Menteri termasuk memindahkan kuasa kawal selia bekalan gas kepada Sabah.

"Walaupun ada lagi beberapa perkara yang perlu perbincangan lanjut tetapi kita amat yakin di bawah pimpinan PM Anwar kita akan dapat selesaikan banyak perkara dalam MA63,” katanya. - Bernama