Pusat AD pertama MPAJ, proses sisa makanan jadi baja

Mesin AD yang akan memproses sisa makanan menjadi baja kompos.
Mesin AD yang akan memproses sisa makanan menjadi baja kompos.
A
A
A

AMPANG - Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) kini memiliki pusat Anaerobic Digester (AD) yang akan memproses sisa makanan menjadi baja kompos serta gas.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pengoperasian pusat perawatan sisa makanan itu merupakan salah satu inisiatif hijau oleh KPKT yang mendapat kerjasama daripada SWCorp dan MPAJ ke arah pelaksanaan ekonomi kitaran.

Menurutnya, pusat itu itu akan menjadi rujukan kepada KPKT dalam pengurusan sisa makanan secara teratur sebelum konsep itu diperluaskan ke pihak berkuasa tempatan (PBT) lain.

"Menjadi cabaran MPAJ bagi memastikan pusat ini diuruskan sebaiknya. KPKT mahu lihat projek ini mampu dikekalkan dan diteruskan, sama ada berbaloi diteruskan atau tidak.

"KPKT ada sasaran projek ini diperluaskan ke PBT lain tapi buat masa ini mahu lihat hasilnya di MPAJ terlebih dahulu," katanya selepas melawat Pusat AD di sini pada Khamis.

Beliau terdahulu merasmikan pembukaan Laman Selera MPAJ@Ampang Jaya terletak bersebelahan pusat AD yang merupakan projek di bawah KPKT pembangunan mampan dengan peruntukan RM4.6 juta.

Turut hadir Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han; Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Ismail Mokhtar dan Yang Dipertua MPAJ, Mohd Fauzi Md Yatim.

Artikel Berkaitan:

Akmal Nasrullah (tiga dari kanan) melihat baja yang terhasil melalui permprosesan sisa makanan di pusat AD MPAJ.
Akmal Nasrullah (tiga dari kanan) melihat baja yang terhasil melalui permprosesan sisa makanan di pusat AD MPAJ.

Katanya, pusat itu juga dijangka dapat mengurangkan kebergantungan pelupusan sisa makanan ke pusat pelupusan sampah.

Bagaimanapun katanya, ketika ini pusat AD hanya menerima sisa makanan dari premis terpilih yang dikenal pasti menghasilkan sisa makanan yang banyak seperti hotel, restoran dan lain-lain.

"Masyarakat juga boleh diberi peluang untuk turut serta. Mungkin boleh tetapkan hari tertentu bagi membolehkan kemudahan ini digunakan bersama (masyarakat) untuk didik anak-anak.

"Jika ada permintaan dan kemampuan mesin mencukupi, saya lihat tak ada masalah ia dibuka kepada masyarakat, " ujarnya.

Pusat AD berkeluasan 0.015 hektar itu telah beroperasi sejak Julai lalu yang ketika ini menerima sisa makanan daripada 65 gerai makan, empat hotel serta satu hospital.

Sehingga Disember lalu, sebanyak 19,120 liter baja kompos berjaya dihasilkan daripada anggaran 35,000 kilogram sisa makanan yang terkumpul.

Dalam pada itu, Akmal Nasrullah berkata, sebagai menyokong golongan usahawan yang baru memulakan perniagaan di Laman Selera MPAJ@Ampang Jaya, mereka diberikan pengecualian sewa selama tiga bulan.

Laman selera itu berkonsep reka bentuk dan senibina Brutalist Architecture dilengkapi 17 gerai, enam kios, surau, tandas awam serta tempat letak kereta.