'El Chapo' hantar isyarat SOS

'El Chapo' diekstradisi ke AS pada 2017. - Agensi
'El Chapo' diekstradisi ke AS pada 2017. - Agensi
A
A
A

MEXICO CITY - Raja dadah paling ganas dan berpengaruh di dunia, Joaquin 'El Chapo' Guzman telah menghantar isyarat kecemasan SOS kepada Presiden, Andrea Manuel Lopez Obrador bagi membantunya diekstradisi semula ke Mexico.

'El Chapo' kini sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup di Amerika Syarikat (AS) selepas disabit bersalah pada 2019 kerana mengedar pelbagai jenis dadah dan pengubahan wang haram.

Peguamnya, Jose Refugio Rodriguez berkata, 'El Chapo' mengalami seksaan psikologi yang dahsyat sepanjang enam tahun di penjara AS.

"Selama berada di AS, dia tidak pernah melihat cahaya matahari dan hanya dibenarkan keluar tiga kali seminggu ke kawasan kecil.

"Kekurangan cahaya matahari juga tidak baik untuk kesihatan," ujarnya.

Kedutaan Mexico di Washington mengesahkan di Twitter pada Selasa bahawa ia menerima emel daripada Rodriguez pada 10 Januari.

Tanpa merujuk kepada kandungan emel itu, Menteri Luar Mexico Marcelo Ebrard bagaimanapun enggan memberi sebarang ulasan berhubung rayuan 'El Chapo'.

Awal bulan ini, salah seorang anak 'El Chapo' iaitu Ovidio Guzman telah ditangkap oleh pasukan keselamatan Mexico dalam operasi yang menyebabkan 29 orang terbunuh dan mencetuskan tembakan dramatik di sebuah lapangan terbang di bandar Culiacan. - AFP

Artikel Berkaitan: