Tiga alternatif selain pengeluaran KWSP

Dikhuatiri sebahagian pencarum KWSP tidak berkemampuan untuk mengeluarkan baki simpanan mereka.
Dikhuatiri sebahagian pencarum KWSP tidak berkemampuan untuk mengeluarkan baki simpanan mereka.
A
A
A

SHAH ALAM - Pakar menyarankan tiga alternatif selain membenarkan pengeluaran terus caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi mengatasi isu kos sara hidup rakyat yang semakin membebankan.

Penganalisis ekonomi dari UniKL Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pengeluaran KWSP walaupun bersasar tetap berisiko untuk menjejaskan masa depan bakal pesara terutama apabila mempunyai baki simpanan yang sedikit.

Langkah pertama yang boleh diambil ialah wang simpanan KWSP pencarum boleh dikreditkan secara langsung kepada bank untuk hutang tertunggak.

“Sekurang-kurangnya kaedah ini dapat melaraskan kembali pembayaran atau memulihkan status muflis pencarum.

“Ini boleh dilakukan untuk memberi permulaan baharu pada mereka yang terkesan.

“Saya cadangkan juga diwujudkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) khusus atau diamanahkan kepada agensi kerajaan contohnya seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk memastikan mereka yang mempunyai hutang bank untuk penstrukturan semula hutang,” katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa menyatakan kerajaan bercadang mencari alternatif bagi membantu rakyat yang terkesan dengan kos sara hidup berbanding membenarkan pengeluaran KWSP berikutan baki simpanan majoriti pencarum adalah sangat kecil.

Tegasnya, simpanan terbabit lebih penting untuk masa depan mereka atau keperluan lain yang lebih mendesak.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Aimi Zulhazmi menambah, cadangan seterusnya adalah untuk mereka yang tiada masalah hutang tetapi mengalami pengurangan pendapatan disebabkan perniagaan merosot, dipotong gaji atau kehilangan tempat bergantung akibat kematian disebabkan Covid-19 atau penyakit berkaitan dengannya.

“Kerajaan mungkin boleh menubuhkan jabatan khas di bawah agensi sedia ada untuk memperbaiki taraf kehidupan bukan sahaja dengan bantuan tunai bulanan tetapi membantu secara langsung dari aspek perniagaan atau pekerjaan yang sesuai.

“Selain itu adalah penting untuk menjadikan agensi berkenaan berkeupayaan memberi motivasi dan kaunseling dalam membantu memulihkan golongan yang terkesan akibat kegawatan ekonomi,” kata beliau.

Cadangan ketiga katanya, adalah penubuhan satu tabungan khas menerusi dana diterima daripada derma dan wakaf yang dikecualikan cukai daripada individu mahupun korporat.

“Penubuhan tabungan khas ini dapat digunakan untuk membantu perbelanjaan pemulihan seperti yang disebutkan di atas tadi,” katanya.

Sebelum ini, beberapa pengeluaran KWSP telah dibenarkan oleh kerajaan iaitu pengeluaran i-Sinar berjumlah RM10,000 pada tahun 2021 dan pengeluaran i-Lestari dengan jumlah minimum RM50 dan maksimum RM500 sebulan, tertakluk kepada jumlah simpanan dalam Akaun 2.

Bagi i-Citra pula, pengeluaran adalah tertakluk kepada jumlah baki kedua-dua Akaun 1 dan 2 dengan jumlah maksimum RM5,000.

Seterusnya adalah pengeluaran khas KWSP 2.0 juga berjumlah RM10,000 pada tahun 2022 dengan amaun pengeluaran adalah minimum RM50, manakala maksimum sebanyak RM10,000, tertakluk kepada baki simpanan Akaun 2.