Permulaan baik Aaron-Wooi Yik di India

Wooi Yik (kiri) dan Aaron akan menentang pasangan dari Taiwan dalam pusingan kedua Terbuka India pada Khamis. - Foto FB BAM
Wooi Yik (kiri) dan Aaron akan menentang pasangan dari Taiwan dalam pusingan kedua Terbuka India pada Khamis. - Foto FB BAM
A
A
A

BEREGU lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, tidak berdepan masalah untuk menewaskan rakan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dalam pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka India di New Delhi pada Rabu.

Terbuka India boleh menjadi platform terbaik buat pasangan negara itu untuk mempamerkan kebangkitan selepas tersingkir dalam pusingan kedua Terbuka Malaysia minggu lalu.

Permulaan positif itu amat baik buat Aaron-Wooi Yik apabila mereka hanya memerlukan 33 minit untuk mara ke pusingan kedua.

Aaron-Wooi Yik bagaimanapun dipaksa bekerja keras oleh Wei Chong-Kai Wun sebelum menang pada set pertama 23-21.

Pengalaman membezakan mereka apabila Aaron-Wooi Yik yang diletakkan sebagai pilihan ketiga tenang mencatat kemenangan 21-10 pada set kedua.

Mereka yang juga juara dunia 2022 akan menentang Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan dari Taiwan yang menang ke atas Keiichiro Matsui-Yoshinori Takeuchi 21-14, 21-13 pada satu lagi aksi.

Aksi itu bakal mengulangi pertemuan mereka di Terbuka Malaysia minggu lalu yang berpihak kepada Aaron-Wooi Yik.

Dalam pada itu, skrip berbeza buat satu lagi pasangan beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang tunduk dalam pusingan pertama pada malam Selasa.

Artikel Berkaitan:

Mereka kalah 19-21, 17-21 kepada wakil China, Ren Xiang Yu-Tan Qiang sekali gus mengulangi episod hambar di Terbuka Malaysia minggu lalu apabila tewas pada pusingan pertama.

Nasib sama turut menimpa beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai apabila terpaksa akur tewas kepada pasangan China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong 21-11, 21-7.