Semakan sabitan, hukuman kes SRC Najib didengar esok

Najib - Foto Bernama
Najib - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Permohonan terakhir Datuk Seri Najib Tun Razak untuk semakan semula keputusan sabitan, hukuman dan denda yang dikenakan terhadapnya berhubung penyelewengan dana Syarikat SRC International Sdn Bhd, akan didengar di Mahkamah Persekutuan di sini pada Khamis.

Permohonan bekas Perdana Menteri itu akan didengar oleh panel lima hakim yang hanya akan diketahui jam 9 pagi Khamis dan ia dibuat mengikut Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

Peraturan itu memberikan mahkamah tertinggi sedia ada untuk, antara lain, mengkaji semula keputusan terdahulu atas alasan ketidakadilan dan penyalahgunaan proses.

Pada 23 Ogos tahun lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Turut bersidang, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abang Iskandar Abang Hashim yang mengangkat sumpah jawatan Presiden Mahkamah Rayuan; Nallini Pathmanathan, Mary Lim dan Mohamad Zabidin Diah.

Susulan itu, Najib diperintah untuk menjalani hukumannya di Penjara Kajang pada hari yang sama.

Najib, 70, kemudiannya memfailkan semakan terhadap keputusan berkenaan atas alasan haknya untuk mendapatkan perbicaraan adil sebagaimana dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan telah dinafikan pada 6 September 2022.

Artikel Berkaitan:

Najib memohon agar mahkamah tertinggi negara supaya menyemak keputusan panel lima hakim berkenaan dengan memohon perintah supaya keputusan rayuan utama beliau diketepikan dan dilepas serta dibebaskan daripada tuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Najib turut memohon untuk semakan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonannya untuk memasukkan bukti baharu berkaitan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang kini Hakim Mahkamah Rayuan dan membatalkan perbicaraan kes itu.

Ia turut membabitkan semakan keputusan mahkamah yang menolak permohonan peguamnya untuk menangguhkan prosiding dan supaya Tengku Maimun menarik diri daripada mendengar rayuan akhirnya.

Najib juga memfailkan petisyen kepada UNWGAD untuk memohon pembebasan atau perbicaraan semula berhubung rayuan kes bagi kesalahan menyeleweng dana SRC itu.