Kastam rampas mercun, bunga api bernilai hampir setengah juta

Hamisan (dua dari kiri) menunjukkan kotak mercun dan bunga api tidak bercukai yang dirampas.
Hamisan (dua dari kiri) menunjukkan kotak mercun dan bunga api tidak bercukai yang dirampas.
A
A
A

BUTTERWORTH - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menahan tiga lelaki warga tempatan bersama 463 kotak mercun dan bunga api tidak berkastam bernilai RM87,010 dengan cukai berjumlah RM56,556.

Pengarah JKDM Pulau Pinang, Hamisan Kalip berkata, tangkapan tersebut dibuat di hadapan sebuah kedai di Georgetown pada jam 4.30 pagi, 9 Januari lalu.

Menurutnya, serbuan dan pemeriksaan dilakukan oleh sepasukan Unit Marin JKDM dan Bahagian Penguatkuasaan Pulau Pinang ketika ketiga-tiga suspek sedang memunggah dagangan tersebut dari sebuah lori.

"Hasil pemeriksaan menjumpai mercun dan bunga api pelbagai jenama yang disyaki tidak berkastam dalam premis dan lori tersebut. Hasil siasatan awal, kesemua mercun dan bunga api itu dibawa dari Thailand melalui laluan laut.

"Kesemua suspek yang berusia lingkungan 30 hingga 42 tahun merupakan pekerja di premis berkenaan yang mana, tugas membawa masuk bekalan ke negara ini adalah individu lain.

"Kita percaya, mercun dan bunga api ini untuk jualan sempena Tahun Baharu Cina," katanya ketika sidang akhbar di Stor Penguatkuasaan Bagan Jermal, Kampung Kastam di sini pada Rabu.

Hamisan berkata, kesemua barangan tersebut dijual tanpa membuat pengikraran yang sah.

"Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 kerana melindungi, menyimpan, menyembunyikan atau memiliki barang-barang tidak berkastam atau barang larangan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam kes berlainan, beliau berkata, JKDM Pulau Pinang menahan sebuah kontena di Pengkalan Kontena Butterworth Utara dan merampas 510 unit dapur memasak hob (electrical hob-cooker).

Menurutnya, kesemua barangan tersebut disyaki tidak berkastam melibatkan nilai anggaran berjumlah RM358,500 dengan cukai berjumlah RM114,720.

"Selepas ditahan, kontena tersebut diiringi ke Stor Penguatkuasaan Kastam, Bagan Jermal untuk pemeriksaan lanjut. Selain rampasan tersebut, kita turut menahan pengurus syarikat wanita berusia 34 tahun untuk membantu siasatan.

"Siasatan awal mendapati, syarikat tempatan tersebut berpangkalan di Pasir Mas, Kelantan dan barang dagangan tersebut dibawa masuk dari China," katanya.

Tambah Hamisan, modus operandi syarikat tersebut adalah dengan membuat pengikraran palsu iaitu mengikrar dagangan sebagai lima bahagian berbeza dapur memasak hob yang belum siap pasang dalam Borang 1, yang mana item yang diikrarkan itu mendapat manfaat daripada pengecualian cukai penuh serta tidak memerlukan lesen import.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967," katanya.

Sementara itu, JKDM Pulau Pinang merampas 129 unit skuter elektrik yang dipercayai melibatkan nilai anggaran berjumlah RM283,800 dengan cukai berjumlah RM85,140.

Hamisan berkata, sepasukan anggotanya telah menahan dua buah kontena yang diimport oleh sebuah syarikat tempatan yang berpangkalan di Sungai Petani, Kedah.

"Hasil siasatan mendapati barang dagangan tersebut dibawa dari China. Kita turut menahan seorang lelaki berusia 54 tahun untuk membantu siasatan.

"Modus operandi syarikat tersebut adalah dengan membuat pengikraran palsu iaitu mengikrar dagangan sebagai 129 unit skuter elektrik CKD dalam Borang K1 yang mana, barang dagangan yang dibawa masuk itu mendapat manfaat daripada pengecualian cukai penuh serta syarikat tersebut seharusnya mendapatkan lesen import bagi CBU," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.