OKU rugi RM4,000, amah larikan barang kemas

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PORT DICKSON - Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) mengalami kerugian kira-kira RM4,000 apabila barang kemas dan wang tunai berjumlah RM2,000 lesap disyaki dilarikan pembantu rumah warga India pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, mangsa yang berusia 38 tahun itu menyedari orang gajinya bernama Jothi tiada dalam bilik di rumahnya di Telok Pelandok Pasir Panjang, di sini pada jam 5 pagi.

Menurutnya, mangsa sebelum itu telah membuat iklan bagi mencari orang gaji di Facebook dan telah dihubungi seorang ejen dikenali sebagai Raja.

"Raja menawarkan seorang perempuan warganegara India sebagai orang gaji dengan kos bayaran RM10,000 termasuk penghantaran, passport dan visa pas pekerja," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ujarnya, mangsa telah membayar gaji sebanyak RM1,200 kepada suspek yang diambil bekerja awal bulan Disember tahun lepas.

Sepanjang bekerja, suspek diberikan kemudahan tempat tinggal, telefon bimbit dan ditanggung makan minum.

"Bagaimanapun, suspek disedari tiada di biliknya ketika mangsa bangun tidur dan selepas pemeriksaan didapati barang kemas miliknya dan anaknya iaitu dua anting-anting, satu utas rantai leher, satu utas rantai tangan dan wang tunai RM2,000 telah hilang.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan dan polis masih mengesan suspek bernama Jothi Kumar.

Artikel Berkaitan:

"Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kes ini boleh menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Jenayah, Sarjan Nur Asyikin Kamarrudin ditalian 012-9310852 atau hotline Ibu Pejabat Polis (IPD) Port Dickson ditalian 06- 6472222 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan," katanya.