Malaysia-China bincang kerjasama bidang pertanian

Ouyang Yujing (kanan) ketika kunjungan hormat ke atas Mohamad (kiri) di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Putrajaya hari ini. - Foto Facebook Mohamad Sabu
Ouyang Yujing (kanan) ketika kunjungan hormat ke atas Mohamad (kiri) di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Putrajaya hari ini. - Foto Facebook Mohamad Sabu
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia dan China telah mengadakan perbincangan mengenai cadangan kerjasama dua hala dalam bidang pertanian, khususnya pertanian moden serta penyelidikan pertanian.

Perkara itu dibincangkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu dan Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing, ketika Ouyang melakukan kunjungan hormat ke atas Mohamad di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) di sini hari ini.

MAFS dalam kenyataan hari ini berkata, China bersedia untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam polisi berkaitan pembasmian kemiskinan melalui program pertanian, mewujudkan pasaran komoditi dan rantaian nilai makanan yang mapan serta penggunaan pertanian pintar dalam pengeluaran bijirin.

"Kedua-dua negara turut bersedia untuk memperkukuhkan perdagangan dua hala dalam bidang pertanian selaras dengan keperluan bagi menjamin sumber makanan yang mampan dan berterusan," menurut kenyataan itu.

Malaysia menjalin hubungan diplomatik dengan China sejak 1974, menjadikan Malaysia sebagai negara pertama di ASEAN yang melakukannya.

Sejak itu, kedua-dua negara menjalin hubungan erat dan membangun perkongsian untuk kepentingan bersama dalam pelbagai aspek. - Bernama

Artikel Berkaitan: