Gerakan pemuliharaan hijau di sekolah

Sebanyak 91 sekolah peringkat PPD Kerian dipilih sebagai perintis projek MPOGCF

A
A
A

Abdul Rasyid (lima dari kanan) menyempurnakan gimik penyerahan anak pokok kepada wakil sekolah sempena pelancaran Kempen Pemuliharaan Hijau Sekolah-sekolah peringkat PPD Kerian di Dewan SJKC Nam Hua pada Sabtu.
Abdul Rasyid (lima dari kanan) menyempurnakan gimik penyerahan anak pokok kepada wakil sekolah sempena pelancaran Kempen Pemuliharaan Hijau Sekolah-sekolah peringkat PPD Kerian di Dewan SJKC Nam Hua pada Sabtu.

PARIT BUNTAR - Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) meneruskan usaha pemuliharaan mampan secara strategik dengan menyasarkan penglibatan warga sekolah.

Inisiatif menerusi Kempen Pemuliharaan Hijau Sekolah-sekolah itu digerakkan dengan memilih 91 sekolah peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kerian sebagai perintis projek.

Pengurus Besar MPOGCF, Zamakhsari Muhamad berkata, yayasan itu menaja 1,000 pokok kelat paya dan 100 anak pokok kelapa sawit untuk diagihkan kepada semua sekolah terlibat membabitkan pembiayaan RM60,000.

"Pada peringkat awal ini, kita akan fokus kepada penanaman dahulu dan disusuli dengan aktiviti-aktiviti pemuliharaan.

"Kita akan terus bekerjasama dengan PPD bagi memastikan projek perintis ini berjaya supaya boleh dijadikan model untuk dikembangkan ke tempat lain," katanya.

Beliau berkata demikian sempena pelancaran Kempen Pemuliharaan Hijau Sekolah-sekolah peringkat PPD Kerian di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Nam Hua di Tanjung Piandang dekat sini pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Abdul Rasyid (tiga dari kiri) menyampaikan sijil kepada wakil sekolah yang mendapat anugerah SUSTANET peringkat antarabangsa.
Abdul Rasyid (tiga dari kiri) menyampaikan sijil kepada wakil sekolah yang mendapat anugerah SUSTANET peringkat antarabangsa.

Program dirasmikan Ahli Lembaga Pemegang Amanah MPOGCF, Datuk Abdul Rasyid Idris itu turut dihadiri Pegawai Pendidikan Daerah Kerian, Mohd Paku Ruzi Min dan Pengurus Pemuliharaan MPOGCF, Ahmad Shahdan Kassim.

Zamakhsari berkata, kesedaran terhadap perlindungan alam sekitar dan kelestarian sawit sangat penting dan patut dimulakan dari peringkat akar umbi terutama warga sekolah.

Justeru katanya, pelaksanaan kempen di peringkat sekolah itu dilihat mampu memupuk kesedaran rakyat tentang kepentingan pokok sawit dan industri sawit dalam pembangunan ekonomi serta kestabilan negara.

"Warga pendidik ini mempunyai keupayaan dalam menyampaikan mesej mengenai isu-isu yang berkait dengan kelestarian dan pemuliharaan hijau, jadi atas sebab itu kita memilih sekolah.

"Kadang-kadang orang lihat sawit ini tidak lebih daripada sebuah ladang, sedangkan ia penting kepada seluruh rakyat. Kesedaran kita akan dapat membantu melindungi dan memulihara kepelbagaian bio semula jadi negara," ujarnya.

Dalam kempen itu, setiap sekolah menerima 10 pokok paya kelat dan satu pokok kelapa sawit.

Pokok paya kelat dipilih kerana pokok hiasan itu mudah dijaga dan diselenggara tanpa tambahan kos penyelenggara, manakala pokok sawit sebagai simbolik atau lambang industri sawit Malaysia yang telah menyumbangkan dana untuk kempen ini.

MPOGCF juga menaja papan tanda mengenai kempen pemuliharaan dan akan dipasang setiap sekolah yang terlibat dalam masa terdekat.

Tepati hasrat kerajaan

Kempen Pemuliharaan Hijau Sekolah-sekolah peringkat PPD Kerian dilancarkan pada Sabtu dengan menjadikan 91 sekolah sebagai perintis projek.
Kempen Pemuliharaan Hijau Sekolah-sekolah peringkat PPD Kerian dilancarkan pada Sabtu dengan menjadikan 91 sekolah sebagai perintis projek.



Dalam perkembangan sama, Abdul Rasyid berkata, Kempen Pemuliharaan Hijau Sekolah-sekolah bertepatan dengan hasrat kerajaan menggunakan hasil daripada komoditi yang mampan untuk kesejahteraan rakyat.

Malah pelaksanaannya menyokong program Penghijauan Malaysia menerusi penanaman 100 juta pokok dalam tempoh 2021 hingga 2025 yang dilancarkan pada Januari 2021 lalu.

"Statistik terkini menunjukkan 51.19 peratus pokok daripada sasaran itu telah ditanam seluruh negara.

"Jabatan Pendidikan Negeri Perak pula menyasarkan untuk menanam 100,000 pokok dalam tempoh lima tahun.

"Jadi, inisiatif projek ini adalah mesej jelas mengenai komitmen kita dalam melindungi alam sekitar dan industri sawit negara," Abdul Rasyid.

Beliau turut menjelaskan, minyak sawit di Malaysia adalah industri yang dibangunkan secara mampan dengan memenuhi kriteria 3P iaitu People (kesejahteraan masyarakat) Profit (ekonomi) dan Planet (alam sekitar).

"Peranan MPOGCF untuk meningkatkan imej minyak sawit Malaysia sebagai produk mampan selain mempromosikan kebaikan minyak sawit di negara-negara membangun.

"MPOGCF juga bertanggungjawab mempromosikan kriteria 'alam sekitar atau planet' dengan menaja projek-projek memulih semula hutan-hutan yang telah rosak dan program-program memulihara haiwan-haiwan liar khususnya gajah, orang utan dan Harimau Malaya.

"Tiga haiwan ikonik ini sering dikaitkan dengan perladangan kelapa sawit," katanya.

REAKSI GURU

R. SUBRAMANIAM
R. SUBRAMANIAM



“Gerakan kempan ini amat baik untuk generasi akan datang kerana proses pemuliharaan hijau perlu melibatkan semua pihak. Ia hendaklah dilakukan secara berterusan sebagai jaminan masa depan negara yang lebih baik.” - R Subramaniam, 52, Guru Besar SJKT Saint Mary, Parit Buntar.

LEE CHOY YAN
LEE CHOY YAN



“Penglibatan warga sekolah dalam kempen ini akan jadi suntikan baharu kepada pihak sekolah tampil lebih kreatif dalam usaha mewujudkan kesedaran alam sekitar kalangan anak murid.” - Lee Choy Yan, 58, Guru Besar SJKC Sin Hwa, Parit Buntar.

HASAN AGHARE
HASAN AGHARE

“Selama ini kita terlepas pandang mengenai kepentingan sawit dan pemuliharaan alam sekitar, jadi kempen begini dapat memupuk pengetahuan warga sekolah untuk mengupayakan kawasan lapang di sekitar sekolah.” - Hasan Aghare Mohd Nor, 59, Guru Besar SK Baru Parit Buntar, Parit Buntar.