Polis tumpas sindiket, rampas RM1.6 juta dadah

Kamarul Zaman (kanan) menunjukkan dadah yang dirampas daripada sindiket pengedaran dadah, selepas sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, pada Isnin.
Kamarul Zaman (kanan) menunjukkan dadah yang dirampas daripada sindiket pengedaran dadah, selepas sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dan pembungkusan dadah jenis Erimin 5 didalangi warga asing dalam sembilan serbuan melibatkan empat daerah pada 5 Januari lalu hingga Sabtu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, serbuan sekitar Kulai, Iskandar Puteri, Seri Alam dan Mersing itu dijalankan dalam Operasi Khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dan Kulai.

Katanya, menerusi serbuan itu, 14 ahli sindiket termasuk lima wanita berusia 21 tahun hingga 48 tahun ditahan. Lapan yang ditahan termasuk dalang adalah warga asing.

"Seorang daripadanya adalah 'mastermind' warga asing dari negara jiran yang menggunakan kereta mewah bernilai hampir RM300,000. Polis masih menjalankan siasatan dan sedang mengenal pasti ketua sindiket.

"Sebanyak 70,004 biji pil erimin 5 seberat 22.21 kilogram bernilai RM1.66 juta berjaya dirampas. Turut dirampas 54.70 gram syabu, 3.70 gram heroin, 2.40 gram ketamin dan 1.00 gram ganja yang keseluruhannya bernilai RM1.672 juta," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Isnin.

Katanya, sindiket pengedaran itu menggunakan modus operandi dengan menjadikan kondominium dan rumah mewah sebagai stor simpanan dadah sebelum diedarkan di pasaran tempatan dengan menyasarkan kelab hiburan dan kelab malam sekitar negeri ini.

Kamarul Zaman menunjukkan ahli sindiket pengedaran dadah dalam sembilan serbuan melibatkan empat daerah pada 5 Januari lalu hingga Sabtu.
Kamarul Zaman menunjukkan ahli sindiket pengedaran dadah dalam sembilan serbuan melibatkan empat daerah pada 5 Januari lalu hingga Sabtu.

Kamarul Zaman memberitahu, kegiatan pengedaran dadah itu telah aktif sejak Oktober tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Sembilan daripada 14 suspek berkenaan positif dadah Methamphetamine dan ketamin sedangkan dadah yang kita rampas adalah Erimin 5.

"Erimin 5 ini digunakan sebagai dadah penenang yang biasa digunakan di kelab hiburan dan dijual RM15 sebiji," katanya.

Kata beliau lagi, sembilan daripada 14 suspek berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Polis juga menyita sebuah kereta mewah jenis Maserati bernilai RM300,000, jam tangan jenama Rolex bernilai RM45,000 dan pelbagai barang kemas dengan nilai sitaan RM44,441.

"Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula Isnin sehingga 21 Januari ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," ujar beliau.