Barcelona julang Piala Super Sepanyol

Para pemain Barca meraikan kejayaan menjulang Piala Super Sepanyol. - Foto AFP
Para pemain Barca meraikan kejayaan menjulang Piala Super Sepanyol. - Foto AFP
A
A
A

PEMAIN remaja, Gavi menjadi duri dalam daging buat Real Madrid apabila membantu Barcelona untuk merangkul Piala Super Sepanyol di Arab Saudi pada Isnin.

Pemain berusia 19 tahun itu meledak satu gol dan membuat dua bantuan jaringan untuk membantu Barca menewaskan Madrid 3-1 menerusi aksi hebat menentang pencabar Clasico itu.

Dua lagi gol hasil ledakan Robert Lewandowski dan Pedri Gonzalez untuk memberi kejayaan pertama buat jurulatih Xavi Hernandez.

Xavi melalui musim yang hebat sebagai pemain di Barca dan kembali ke Camp Nou pada November 2021 sebagai jurulatih.

Selepas berbelanja besar pada musim panas, kejayaan berkenaan membawa pasukan itu di landasan sebenar.

Gol saguhati Madrid pula dihasilkan Karim Benzema yang gagal mempamerkan watak sebenar selepas rehat Piala Dunia dan mereka ketinggalan tiga mata di belakang Barca dalam saingan La Liga.

Pada aksi itu, Xavi menurunkan empat pemain tengah dengan Gavi beraksi di kiri dan sentiasa menyukarkan pertahanan kanan Madrid, Dani Carvajal.

“Gavi sentiasa menggembirakan kita. Apabila beraksi dia memberikan sepenuhnya jiwa dan raga. Dia mempunyai karektor dan mampu mempengaruhi pasukan. Gavi juga ada kualiti kepimpinan,” ujar Xavi.

Artikel Berkaitan:

Kekalahan itu merupakan yang pertama buat jurulatih Madrid, Carlo Ancelotti dalam aksi final sejak 2014 apabila Los Blancos terpaksa menyerahkan trofi dimenangi mereka kapada Barcelona yang menang Piala Super dengan rekod 14 kali.