Menteri Luar Singapura lawat Malaysia empat hari bermula esok

Vivian Balakrishnan - Foto fail Reuters
Vivian Balakrishnan - Foto fail Reuters
A
A
A

SINGAPURA - Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan akan mengadakan lawatan rasmi selama empat hari ke Malaysia mulai 15 Januari, menurut Kementerian Luar (MFA) republik itu.

Dalam kenyataan hari ini kementerian itu memaklumkan, lawatan Balakrishnan menekankan persahabatan yang lama terjalin dan hubungan rapat antara kedua-dua negara selain untuk memperkukuh kerjasama dua hala dengan kerajaan baharu Malaysia.

Semasa lawatannya, menurut MFA Balakrishnan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Balakrishnan juga akan bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad serta ahli politik dan personaliti Malaysia yang lain.

Balakrishnan akan diiringi oleh pegawai dari Kementerian Luar Negeri. - Bernama

Artikel Berkaitan: